suria

Pengusaha Kedai Cermin Ditipu RM20,000

KUALA LUMPUR: Seorang pengusaha kedai cermin di Salak Selatan Baru di sini kerugian RM20,000 selepas ditipu beberapa individu yang menyamar sebagai anggota penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Low Bee Chow, 40, membayar amaun berkenaan pada Mei tahun lepas selepas didatangi enam lelaki yang mendakwa beliau mengusahakan perniagaan di atas tapak DBKL seluas kira-kira 5,000 kaki persegi itu.

"Mereka kata kalau saya masih mahu menggunakan tanah itu untuk perniagaan saya, saya harus membayar RM20,000. Wang itu juga didakwa sebagai permohonan kepada DBKL untuk saya kekal menjalankan perniagaan di tapak itu," katanya yang telah menjalankan perniagaan tersebut sejak tahun lepas.

Low yang mengusahakan perniagaan itu bersama suaminya berkata selepas membuat pembayaran itu, 'penguatkuasa' DBKL berkenaan mengeluarkan surat kebenaran dan permit menggunakan tanah yang menyerupai 'letter head' sebenar DBKL beserta nama dan tandatangan individu bernama Sharom Ujang yang berkhidmat di bahagian Jabatan Perancang & Kawalan Bangunan DBKL.

"Saya ingatkan masalah itu sudah selesai, tapi kehadiran satu notis pemberitahuan daripada Pejabat Tanah dan Galian ( PTG) untuk mengosongkan tapak ini pada 23 April lepas, mengejutkan saya. Saya hanya menyedari ditipu selepas pihak DBKL memaklumkan individu yang menyamar tersebut adalah bekas penguatkuasa DBKL yang telah dibuang kerja," katanya kepada pemberita di sini, Rabu.

Beliau berkata penama Sharom Ujang juga wujud dalam organisasi DBKL, tetapi tandatangannya telah dipalsukan.

Sementara itu, Pengerusi Parti Progresif Penduduk (PPP) Wilayah Persekutuan Datuk A.Chandrakumanan yang meninjau lokasi tapak perniagaan berkenaan berkata, hasil perbincangan dan rayuan dengan pihak DBKL, mangsa diberi masa dua minggu untuk menyelesaikan masalah itu.

Beliau berkata tempoh dua minggu itu diberikan setelah arahan pengosongan tapak tersebut berakhir hari ini.

"Pertama sekali saya nasihatkan Puan Low buat laporan polis dahulu dan kita akan bangkitkan isu ini kepada DBKL untuk mengambil tindakan kepada sesiapa yang menyamar sebagai anggota DBKL. "Lepas itu, saya minta dia (Low) buat satu permohonan untuk menduduki sementara (TOL) di tanah ini supaya dia dapat kelulusan untuk terus duduk di sini atau tempat ini akan dirobohkan kerana ini adalah tanah PTG," katanya.

Beliau berkata sekiranya pihak DBKL mendapati tanah tersebut tidak digunakan bagi sebarang pembangunan untuk sementara waktu ini, mereka mungkin boleh mempertimbangkan permohonan Low untuk terus mengusahakan perniagaannya di tapak itu. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain