suria

Keamanan di Timur Tengah Boleh Dicapai - Muhyiddin

OXFORD (United Kingdom): Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Khamis berkata beliau percaya keamanan di Timur Tengah boleh dicapai kerana ia bukan pertembungan yang tidak mungkin dapat diselesaikan antara budaya atau agama tetapi akibat perbuatan manusia yang berakar umbi berhubung soal tanah, peluang dan keadilan.

"Ia merupakan satu konflik yang teruk merebak dalam tempoh sepanjang hayat dan kita akan menggabungkan usaha kita bagi mengekang elemen kerosakan itu dan mengiktiraf dan mengakui bahawa umat Islam di seluruh dunia merasai penderitaan yang ditanggung saudara-saudara mereka," katanya.

Beliau berkata umat Islam di seluruh dunia melihat penderitaan itu akibat daripada pencerobohan dan perlakuan oleh mereka yang berkuasa dan usaha melanjutkan kepentingan asing di negara-negara rantau ini.

Dalam ucaptama beliau pada majlis makan malam tahunan Lembaga Pemegang Amanah Pusat Pengajian Islam Oxford (OCIS) di Ditchley Park County House di sini malam tadi, Timbalan Perdana Menteri berkata jika kembali kepada prinsip kesederhanaan atau wasatiyyah, adalah apa yang beliau percaya sebagai kunci bagi mencapai sebarang ketetapan keamanan.

Beliau berkata atas kepercayaan inilah yang membawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memperkenalkan idea Pergerakan Kesederhanaan Global (GMM) kepada dunia dalam ucapan sulungnya di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) pada 2010, sambil menggesa masyarakat antarabangsa dan pemimpin agama utama dunia untuk mencela dan menolak golongan pelampau mereka sendiri dan bersama-sama menyokong GMM.

Dalam perkembangan lain, Muhyiddin yang kini berada di United Kingdom dalam rangka lawatan kerja lima hari sejak Ahad berkata kurikulum pendidikan Islam Malaysia memfokuskan bidang akidah, mu'amalah dan akhlak; asas pengajaran Islam; dalam usaha membentuk minda dan karakter kanak-kanak agar selari dengan nilai-nilai murni Islam sebagai agama keamanan, dan beliau percaya pendidikan Islam yang betul adalah faktor utama bagi melahirkan masyarakat Islam yang berasa tenang dalam dirinya dan dengan orang lain.

"Saya yakin satu daripada sebab-sebab utama kenapa umat Islam di Malaysia boleh hidup dengan aman di samping masyarakat yang berlainan agama adalah disebabkan cara pendidikan Islam yang mereka terima di sekolah-sekolah kita di mana prinsip kesederhanaan, toleransi agama dan menghormati orang lain yang ditanam dalam kurikulum rasmi agama kita," katanya.

Beliau berkata kanak-kanak dididikbahawa menjadi umat Islam yang soleh juga bermakna menjalin hubungan baik dengan orang lain dan menghormati orang lain yang berlainan pegangan agama, malah melayani keperluan mereka tidak menjadikan mereka kurang Islam.

Muhyiddin berkata umat Islam di Malaysia berdepan cabaran baharu dikaitkan dengan globalisasi dan penyebaran liberalisme moden.

"Prinsip 'tidak ada paksaan dalam beragama' telah diterjemahkan oleh sesetengah pihak sebagai maksud hak orang Islam untuk mengecam Islam. Sedangkan dalam erti kata sebenar, ia difahamkan sebagai bukan Islam tidak boleh dipaksa untuk memeluk Islam," katanya.

"Sama juga, hak berkaitan orientasi seksual seperti Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) yang tidak diterima oleh majoriti orang Islam, telah digalakkan oleh sesetengah kumpulan berkepentingan tertentu di Malaysia. Sebagai sebuah negara Islam, Malaysia tidak mengiktiraf hak-hak LGBT," katanya.

Muhyiddin berkata beliau percaya adalah penting untuk meningkatkan dan memulihkan imej dan maruah Islam dan umatnya di seluruh dunia dan satu cara penting bagi melakukannya adalah dengan meningkatkan ekonomi dan kesejahteraan hidup umat Islam. Beliau berkata masalah pengasingan ekonomi dan penindasan politik dan perbezaan sosial yang merupakan punca ketidakstabilan politik dan kemunduran ekonomi di seluruh dunia Islam perlu ditangani.

Sehubungan itu, beliau percaya Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) perlu memainkan peranan lebih penting ke arah transformasi ummah, terutama dalam bidang ekonomi.

"Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang kecil akan terus menyumbang dalam apa jua cara yang kita boleh bagi menggalakkan keamanan dan kestabilan di dalam dunia Islam dan di seluruh dunia," katanya.

Sebelum itu, Muhyiddin melawat bangunan baharu OCIS di Marston Road di sini dan mendengar taklimat mengenai perkembangan pembinaan bangunan itu dan pelbagai program kerjasama dengan rakan-rakan Malaysia.

OCIS merupakan pusat bebas University of Oxford yang diiktiraf, bertujuan bagi menggalakkan pemahaman budaya dan tamadun Islam dan masyarakat Islam kontemporari yang lebih baik, melalui pembelajaran dan biasiswa. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain