suria

Guan Eng Minta Zahid Pertimbang Permohonan Bertemu Uthayakumar

KUALA LUMPUR: Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng meminta Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mempertimbangkan sekali lagi permohonannya untuk bertemu pemimpin pertubuhan Gerakan Bertindak Hak Hindu (Hindraf) P.Uthayakumar di penjara.

Guan Eng berkata permintaan dibuat selepas permohonan bertulis yang dibuat sebelum ini telah ditolak oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN).

"Selepas menulis surat permohonan, satu surat bertarikh 6 September diterima menyatakan permohonan saya ditolak.

"Saya berharap Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid boleh mempertimbangkan untuk membenarkan saya bertemu dengan P.Uthayakumar, bukan sebagai ahli Parlimen atau ketua menteri Pulau Pinang tetapi atas dasar kemanusiaan," katanya pada sidang media selepas melancarkan kempen "Impian Sarawak", di sini, Rabu.

Menurut Guan Eng Yang juga Setiausaha Agung DAP, beliau mahu bertemu Uthayakumar bagi membincangkan keperluan perubatan beliau.

Katanya, permohonannya itu juga tidak mempunyai agenda politik malah menegaskan hanya mahu bertemu atas dasar kemanusiaan semata-mata memandangkan beliau juga merupakan bekas banduan.

"Saya tiada sebarang pertalian dengan Uthayakumar mahu pun Hindraf sebelum ini.

"Ia hanyalah untuk keperluan rawatan beliau dan rasa peri kemanusiaan," katanya.

Beliau turut menolak dakwaan bahawa Uthayakumar sendiri telah memohon untuk bertemu beliau.

"Uthayakumar tidak boleh buat permohonan dari penjara.

"Hanya ahli keluarga sahaja yang boleh melawatnya sebulan sekali dan juga peguamnya," katanya.

Mengulas lanjut mengenai surat permohonan, beliau berkata surat tersebut dihantar kepada KDN bertarikh 22 Julai, manakala permohonan bertulis turut dibuat kepada Ketua Jabatan Penjara Malaysia Datuk Seri Zulkifli Omar bertarikh 24 Julai.

Pada 5 Jun lalu, Uthayakumar dijatuhi hukuman dua setengah tahun penjara selepas didapati bersalah membuat kenyataan menghasut pada tahun 2007.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain