suria

Tarik Balik Penggantungan Tee: 14 Anggota CC MCA Desak Mesyuarat EGM

KUALA LUMPUR: Sekumpulan 14 anggota Jawatankuasa Pusat MCA (CC) mendesak supaya mesyuarat agung luar biasa (EGM) diadakan berikutan keputusan jawatankuasa itu menarik balik penggantungan keahlian setiausaha penganjur, Datuk Tee Siew Kiong.

Timbalan Presiden Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata keputusan itu melanggar resolusi parti pada 2011 dan 2012 untuk tidak menerima sebarang jawatan kerajaan pusat dan negeri selepas parti itu mencatatkan prestasi buruk pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13), 5 Mei lepas.

Bercakap kepada pemberita di sini pada Isnin, Liow menegaskan bahawa penggantungan keahlian selama tiga tahun terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulai Sebatang itu perlu dikekalkan semula.

Tee dikenakan hukuman itu selepas beliau menerima pelantikannya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Johor.

Beliau (Tee) berkata pelantikannya sebagai anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Johor (Exco) itu tidak berdasarkan sebarang pencalonan daripada MCA sebaliknya pelantikan itu atas titah Sultan Johor.

Pada Khamis lepas, MCA menarik balik penggantungan Tee berkuat kuasa serta merta selepas beliau mengemukakan surat daripada Sultan Johor yang menyatakan pelantikan sebagai ahli exco negeri itu berdasarkan pilihan Sultan.

Liow berkata presiden Datuk Seri Dr Chua Soi Lek pada 6 Mei lepas mengarahkan semua ahli parti yang memegang jawatan dalam kerajaan supaya melepaskan jawatan masing-masing dengan serta merta.

Selain itu, katanya, Dr Chua juga meminta semua Ahli Parlimen dan ADUN yang menang pada PRU13 supaya tidak menerima sebagai pelantikan jawatan dalam kerajaan.

"Arahan itu telah disahkan oleh Majlis Presiden pada 11 Mei lepas dan Tee menghadiri mesyuarat itu tetapi beliau tidak pernah memdedahkan bahawa beliau telah menerima pelantikan sebagai anggota exco Johor," katanya.

Liow berkata peraturan cadangan mesyuarat EGM perlu diadakan dalam tempoh 30 hari mulai hari ini tetapi beliau mendesak Dr Chua memanggil EGM dalam tempoh tujuh hari.

"Ini adalah perkara yang mendesak," katanya sambil menegaskan bahawa perlembagaan parti dan keputusan lembaga disiplin parti mesti dipertahankan. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain