suria

Enam Individu Didakwa Ingkar Fatwa Haram Syiah

IPOH: Enam individu ditahan dan didakwa di mahkamah sejak fatwa mengenai pengharaman ajaran dan fahaman Syiah diwartakan di negeri ini tahun lepas.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Agama, Jabatan Agama Islam Perak (JAIPK) Ahmad Nizam Amiruddin berkata mereka didakwa atas tuduhan mengingkari fatwa Jabatan Mufti Perak kerana memiliki dokumen dan buku berkaitan Syiah.

Beliau berkata empat individu ditahan di Bagan Serai semalam manakala dua lagi ditahan di Kamunting, Taiping, Ogos lepas.

"Terbaru, empat individu termasuk sepasang suami isteri ditahan dan didakwa di Mahkamah Rendah Syariah Taiping semalam kerana melakukan kesalahan itu," katanya kepada pemberita di sini, Selasa.

Beliau berkata empat individu yang bekerja sendiri itu ditahan di tiga lokasi berasingan di Bagan Serai dalam serbuan bermula pukul 7 pagi semalam.

"Semasa serbuan itu tiga lelaki dan seorang wanita ditahan dan didapati dalam simpanan mereka gambar-gambar, buku dan pelbagai barangan lain berkaitan Syiah termasuk batu turbah (digunakan ketika pengikut Syiah sembahyang)," katanya.

Ahmad Nizam berkata sebuah daripada rumah yang diserbu itu dipercayai dijadikan "hauzah" atau markas tempat penyebaran fahaman Syiah.

Katanya mahkamah membenarkan ketiga-tiga lelaki berkenaan masing-masing diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan kes itu akan disebut semula 30 Oktober ini.

Bagaimanapun, katanya, wanita berkenaan dibebaskan dengan bon jaminan penguatkuasa JAIPK atas alasan perlu menjaga anak.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 16, Enakmen Jenayah Perak 1992 iaitu mengingkari fatwa mufti kerana memiliki buku dan dokumen berkaitan Syiah.

Jika sabit kesalahan mereka boleh didenda RM3,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain