suria

Tiga Termasuk Anggota Kongsi Gelap Ditahan Aktif Edar Dadah

BALIK PULAU: Polis menahan tiga orang termasuk seorang anggota kongsi gelap yang aktif menjalankan kegiatan pengedaran dadah di sekitar Pulau Pinang dalam satu serbuan di Jelutong pada 5 September lepas.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata kesemua mereka termasuk seorang wanita itu diberkas di sebuah rumah dalam serbuan pukul 7 malam.

Hasil serbuan, polis turut merampas pelbagai jenis dadah dengan nilai RM30,000 serta sepucuk pistol bersama satu kelopak peluru dan 33 butir peluru 9mm, katanya pada sidang media, di sini Isnin.

Selain itu polis juga menyita pelbagai barangan termasuk kenderaan mewah dengan nilai keseluruhan RM191,000 serta wang tunai berjumlah RM3,200 daripada suspek yang berusia antara 22 dan 43 tahun berkenaan.

Katanya sindiket yang didalangi anggota kongsi gelap itu dipercayai aktif sejak dua tahun lepas.

Dua daripada suspek mempunyai rekod dadah serta jenayah lain dan seorang daripadanya pula dikehendaki polis berkaitan beberapa kes jenayah di Perak, katanya.

Menurut Abdul Rahim polis percaya sindiket itu menggunakan senjata api berkenaan bagi melindungi kawasan pengedaran dadah mereka.

Disebabkan sindiket ini didalangi anggota kongsi gelap itu, maka mudahlah mereka menjalankan perniagaan dadah, katanya.

Kesemua suspek direman sehingga 12 Sept ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti lebih berat) 1971. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain