suria

Noh Persoal Langkah MPK Roboh Premis Perniagaan Rakyat Tempatan

KLANG: Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Selangor (MTPNS), Datuk Seri Noh Omar hari ini mempersoalkan sikap 'berat sebelah' Majlis Perbandaran Klang (MPK) yang merobohkan premis perniagaan milik rakyat tempatan di Jalan Teratai di sini.

Beliau mempersoalkan tindakan MPK itu kerana majlis itu didapati tidak mengambil tindakan serupa terhadap beberapa kediaman di kawasan sama yang dijadikan premis kedai oleh warga asing.

Katanya tindakan itu tidak sepatutnya dilakukan memandangkan kerajaan negeri Selangor selama ini mendakwa ingin membela nasib rakyat apabila memerintah negeri itu.

"Saya difahamkan bila pakatan rakyat memerintah Selangor premis perniagaan yang didirikan oleh warga asing serta diragui statusnya tumbuh macam cendawan.

"Kenapa pihak berkuasa tempatan hanya tutup mata sedangkan tempat rakyat tempatan mencari rezeki dirobohkan. Kenapa amalkan double standard," katanya kepada pemberita selepas meninjau tapak premis yang dirobohkan itu di sini.

Media sebelum ini melaporkan beberapa premis perniagaan melibatkan restoran, kedai runcit dan buah-buahan di Jalan Teratai dirobohkan MPK kerana didakwa beroperasi secara haram.

Sehubungan itu, Noh berkata beliau akan menulis surat kepada kerajaan negeri khususnya MPK bagi meminta penjelasan selain mendesak tindakan wajar dilakukan bagi menyelesaikan perkara itu.

Katanya pihaknya juga akan menulis surat kepada Jabatan Sumber Manusia bagi dilakukan pemeriksaan keadaan asrama dan rumah pekerja sebuah syarikat pengeluar sarung getah di Taman Daya Maju, Jalan Teratai itu yang didakwa penuh sesak sehingga membahayakan keselamatan dan kesihatan penduduk setempat.

Beliau berkata pihaknya menerima aduan daripada penduduk bahawa keadaan asrama dan rumah yang didiami terlalu ramai pekerja warga asing menyebabkan kawasan persekitaran dan longkang di taman perumahan itu kotor serta berbau busuk berikutan sampah sarap dibuang merata-rata.

"Kita akan minta pihak Jabatan Sumber Manusia datang dan lihat sendiri keadaan di kawasan perumahan ini yang dijadikan asrama pekerja warga asing di mana sebuah rumah ditempatkan dengan kira-kira 40 pekerja warga asing. Keadaan ini boleh membahayakan keselamatan dan kesihatan penduduk.

"Kita juga minta pihak Kementerian Dalam Negeri melalui Jabatan Imigresen supaya menjejaki warga asing tanpa izin yang membanjiri kawasan ini berikutan kebimbangan penduduk terhadap keselamatan keluarga masing-masing," katanya.

Noh dalam pada itu meluluskan peruntukan berjumlah RM20,000 sebagai bantuan segera daripada pihak MTPNS bagi membolehkan penduduk kawasan perumahan itu menjalankan aktiviti pembersihan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain