suria

ESSCOM Bersedia Halang MNLF Jika Cuba Ceroboh Sabah - Hishammuddin

PETALING JAYA: Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) yang diwujudkan di perairan pantai Sabah akan segera bertindak sekiranya wujud sebarang pencerobohan.

Laporan media pada Isnin menyatakan terdapat kira-kira 400 anggota bersenjata yang dipercayai ahli kumpulan Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) cuba memasuki pantai Timur Sabah ekoran pertempuran yang berlaku di Filipina dengan tentera kerajaan.

"ESSCOM bukan hanya terdiri daripada aspek ketenteraan, ia turut merangkumi polis, bahagian perisikan serta kerjasama serantau antara kerajaan Malaysia dan pihak berkuasa Filipina.

"Mereka sentiasa dalam keadaan bersedia. Kita akur keluasan pantai timur Sabah merangkumi ribuan kilometer persegi, namun bahagian berkenaan sentiasa dipantau oleh ESSCOM.

"MNLF sentiasa cuba memutar belitkan isu ini...Kita telah sebut ini banyak kali, tentera kita masih ada di sana. Jika mereka cuba ceroboh walau seinci tanah kita seperti mana yang berlaku di Lahad Datu, kita tahu bagaimana cara untuk perangi mereka," katanya kepada pemberita selepas merasmikan motosikal model terbaru keluaran Yamaha Lagenda 115Z di Hotel Sunway, di sini, Isnin.

Kira-kira 400 lelaki bersenjata yang dipercayai daripada kumpulan MNLF dilaporkan cuba memasuki pantai timur Sabah selepas menyerang bandar Zamboaga di selatan Filipina.

Menurut laporan terbaru, pemberontak Moro itu turut mendakwa mereka telah menawan tujuh orang penduduk kampung dan meminta kedutaan Indonesia untuk campur tangan dalam insiden tersebut.

Dilaporkan sekurang-kurangnya seorang polis Filipina maut manakala beberapa lagi cedera dan 30 orang dijadikan tebusan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain