suria

Musa Tinggalkan MyWatch Kerana Tidak Puas Hati

S.Gobi Krishnan
S.Gobi Krishnan
S.Gobi Krishnan

PETALING JAYA: Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan yang telah melepaskan peranannya sebagai penaung kumpulan pemerhati jenayah MyWatch, memberitahu bekas rakan-rakannya dalam kumpulan itu bahawa beliau kecewa dengan penyalahgunaan status 'NGO' oleh "orang-orang tertentu".

Penasihat MyWatch S.Gobi Krishnan berkata Musa bertindak demikian selepas menyedari beberapa anggota yang didakwa menggunakan MyWatch untuk kepentingan peribadi mereka.

"Beliau kini telah membentuk sebuah organisasi bukan kerajaan (NGO) yang baharu bernama Persatuan Penjagaan Jenayah Komuniti Malaysia.

"Saya bercakap dengannya sebelum itu dan beliau berkata tidak berpuas hati dengan penyalahgunaan MyWatch," kata Gobi Krishnan, Jumaat.

"Saya rasa perkara ini boleh diselamatkan dan berhasrat untuk membetulkan kesalahan yang dilakukan oleh seorang atau dua orang anggota ini. Ini adalah sebuah organisasi yang baik kecuali beberapa orang anggotanya," katanya.

Kes Pengerusi MyWatch R. Sri Sanjeevan yang ditembak pada pada 27 Julai mencetuskan rasa takut di kalangan rakyat biasa dan menjadi isu nasional.

Sanjeevan, 29, ditembak di persimpangan lampu trafik di Bahau, Negeri Sembilan, dan kini sedang dirawat di Hospital Serdang.

Doktor berjaya mengeluarkan peluru selepas 18 hari kejadian.

Sebelum ini terdapat darah beku di dalam jantung dan paru-paru beliau.

Polis masih belum menemubual beliau.

Mengulas kenyataan awalnya bahawa kes tembakan Sanjeevan mempunyai kaitan dengan kumpulan dadah, Gobi Krishnan berkata beliau menerima "maklumat yang boleh dipercayai" baru-baru ini.

"Ia menolak penglibatan polis dalam kes tembakan ini, seperti yang didakwa sebelum ini oleh pihak-pihak tertentu.

"Tugas saya ialah untuk memberi amaran kepada orang ramai... Saya hanya memberitahu apa yang saya tahu," katanya.

Sementara itu Musa pula belum bersedia untuk memberi komen.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Persekutuan Datuk Hadi Ho Abdullah berkata polis akan menyiasat pendedahan terkini Gobi Krishnan.

"Kami akan meneliti semua sudut tetapi siasatan masih berterusan. Ia adalah satu proses yang panjang tetapi kita tidak bebas untuk mendedahkan apa-apa maklumat yang berkaitan dengan penyiasatan itu," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain