suria

Kementerian Sedang Usahakan Pelajar Pulang Dari Mesir Sambung Pembelajaran - Idris Jusoh

BESUT: Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh berkata satu perjumpaan dengan pelajar yang pulang dari Mesir akan diadakan pada 12 Sept ini bagi mencari jalan terbaik untuk mereka menyambung pembelajaran.

Beliau berkata ini kerana kerajaan masih tidak mengalakkan mereka kembali ke Mesir bagi meneruskan pelajaran masing-masing kerana keadaan di negara teluk itu masih bergolak dan belum stabil.

Katanya berdasarkan laporan yang diterima daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN), keadaan di negara itu masih tidak selamat berikutan masih menguatkuasakan perintah berkurung.

Selain itu, laporan juga menunjukkan hampir keseluruhan negara di dunia telah membawa balik pelajar mereka dan masih belum membenarkan pelajar mereka kembali menyambung pelajaran mereka di sana, katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Jelajah Merdeka 2013 Kolej Komuniti Kementerian Pendidikan Malaysia di Dataran Pantai Air Tawar, dekat Kampung Raja di sini, Sabtu.

Idris berkata pihak kementerian sedang berusaha mengadakan perbincangan dengan beberapa institusi pengajian tinggi awam/swasta (IPTA/IPTS) dan pihak berkaitan untuk menawarkan tempat kepada pelajar terbabit menyambung pelajaran.

"Buat masa ini, kami melihat beberapa negara alternatif yang boleh ditawarkan kepada pelajar berkenaan untuk menyambung pelajaran mereka khususnya dalam bidang perubatan seperti di Indonesia dan India," katanya.

Beliau juga berkata apa yang berlaku di Mesir sekarang patut dijadikan satu pengajaran kepada rakyat negara ini terutamanya mereka yang terlalu minat untuk meniru budaya-budaya negatif bagi menjatuhkan kerajaan.

Mengenai Kolej Komuniti, Idris berkata kerajaan mengalakkan penubuhan kolej itu di setiap kawasan Parlimen yang telah memainkan peranan penting dalam mewujudkan modal insan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain