suria

Wanita Umno Tidak Halang Ahli Puteri Tanding Jawatan Dalam Wanita - Shahrizat

ALOR SETAR: Wanita Umno tidak pernah menyekat peluang anggota Pergerakan Puteri Umno untuk bertanding sebarang jawatan dalam pergerakan itu pada pemilihan Oktober depan.

Ketuanya Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata sebaliknya, pihaknya mengalu-alukan bekas anggota Puteri yang ingin bertanding sebarang jawatan dalam sayap Wanita dengan tangan terbuka.

Beliau berkata dakwaan yang mengatakan anggota Puteri tidak mempunyai masa depan cerah dalam pergerakan Wanita tidak benar kerana ramai anggota Wanita dari kalangan anggota Puteri.

:Datuk Habibah Mohd Yusuf yang kini menjadi Ketua Pergerakan Wanita Umno Bahagian Tanjong Karang, dulu dia adalah bekas Exco Puteri. Saya sendiri lantik Noraslina Zainal Abidin yang merupakan bekas Ketua Puteri Johor menjadi Bendahari Wanita Umno. Ini adalah antara jawatan yang tertinggi dalam Wanita Umno. "Wanita Umno boleh diibaratkan sebagai ibu kepada anak-anak (Puteri Umno) dan saya sebagai ibu, kita mahu buat dengan elok, silaturahim sentiasa berkekalan, saya pun seronok dengan ahli Puteri untuk berjuang bersama," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Aidilfitri Wanita Umno Kedah di Seri Mentaloon di sini, Jumaat.

Turut hadir Ketua Puteri Umno Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin dan Ketua Wanita Umno Kedah Datuk Maznah Abdul Hamid.

Sementara itu, Rosnah yang menawarkan diri untuk bertanding jawatan Exco Wanita pada pemilihan Oktober ini berkata kepimpinan wanita tidak pernah menolak mana-mana kepimpinan Puteri yang menawarkan diri untuk berkhidmat dalam Wanita Umno kerana ia adalah landasan yang baik untuk mendewasakan diri.

"Kita lihat ia adalah platfom yang baik untuk menjadikan diri kita lebih matang dalam politik. Sebagai pemimpin saya tolak segala tanggapan negatif yang mengaitkan Wanita dan Puteri Umno," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain