suria

Tiga Beradik & Rakan Berdepan 67 Pertuduhan Mencuri

GEORGE TOWN: Tiga beradik dan seorang rakan mereka, yang berdepan 67 pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan serta memiliki barang curi, mengaku tidak bersalah di dua Mahkamah Sesyen dan dua Mahkamah Majistret di sini.

Di Mahkamah Sesyen 1, Mohammad Fairuz Samsuri, 27, bersama-sama dua adiknya, Mohammad Firdaus, 25, dan seorang lagi yang masih di bawah umur serta rakan mereka Mohamed Yaser Yacobpu Ghani, 21, didakwa merompak seorang warga emas berusia 69 tahun serta dua warga asing di Lorong Sungai Dua Gelugor pada kira-kira 2 pagi hingga 3 pagi 4 Ogos lepas.

Hakim Khairul Anuar Abdul Halim membenarkan mereka masing-masing diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin bagi kesalahan berkenaan.

Mohamed Yaser serta remaja bawah umur itu juga didakwa merompak seorang warga asing di Taman Bukit Jambul pada pukul 2 pagi 31 Julai lepas, dan bagi kesalahan itu, Khairul Anuar membenarkan masing-masing diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin.

Mohammad Fairuz, Mohamed Yaser serta remaja bawah umur berkenaan turut berdepan pertuduhan merompak tiga warga Nepal di Jalan Gudwara pada pukul 11 malam 5 Ogos lepas dan Khairul Anuar membenarkan mereka masing-masing diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin.

Bagi kesemua kesalahan, mereka didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan boleh disebat, jika sabit kesalahan.

Khairul Anuar menetapkan 9 Oktober untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Di Mahkamah Sesyen 2, kesemua tertuduh didakwa merompak seorang individu bernama Rianah di Lorong Sungai Dua antara 2 pagi hingga 3 pagi pada 4 Ogos lepas.

Mereka juga didakwa merompak dua warga asing di Jalan Osman Kadir Lit pada 11.40 malam 17 Ogos lepas.

Tertuduh juga berdepan tiga pertuduhan merompak tiga warga asing lain di tempat, pada masa dan tarikh sama iaitu di Lebuh Sandilans, pada 10.30 malam 17 Ogos lepas.

Hakim Zulhazmi Abdullah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan dan menetapkan 25 Okt untuk sebutan semula.

Di Mahkamah Majistret 2, Mohammad Firdaus dan remaja bawah umur berdepan 18 pertuduhan gagal memberi keterangan berkaitan pelbagai jenis barangan yang disyaki curi mengikut Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955 yang membawa hukuman maksimum penjara setahun atau denda RM1,000 jika sabit kesalahan.

Majistret Sri Pracha Nanthini Balabedha membenarkan mereka masing-masing diikat jamin RM1,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan dan menetapkan 25 Oktober untuk sebutan semula kes.

Mohammad Firdaus dan remaja bawah umur juga berdepan 36 pertuduhan sama di Mahkamah Majistert 1.

Majistret Umma Devi Logananthan membenarkan dua beradik itu diikat jamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin bagi 12 pertuduhan dan RM2,000 dengan seorang penjamin bagi 24 pertuduhan.

Mahkamah menetapkan 24 Oktober ini untuk sebutan semula kes. -BERNAMA

Artikel Lain