suria

Sistem Pendidikan Malaysia Perlukan Transformasi - Najib

KUALA LUMPUR: Malaysia perlu melaksanakan perubahan besar terhadap keseluruhan sistem pendidikan negara untuk melonjakkan pencapaian bagi memenuhi aspirasi yang tinggi dalam persekitaran global yang semakin kompetitif, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata langkah itu penting bagi memastikan para pelajar memiliki kemahiran yang diperlukan dalam abad ke-21.

Katanya, bagi mencapai hasrat itulah kerajaan mengambil langkah menggubal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang menyediakan kerangka pembangunan menyeluruh untuk menzahirkan transformasi sistem pendidikan secara pantas dan mapan sehingga 2025.

"Dalam usaha mencapai aspirasi yang tinggi dalam persekitaran persaingan global yang semakin sengit, kita tidak boleh lalai," katanya dalam prakata pelan pendidikan itu yang dilancarkan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Jumaat.

Pelan yang meliputi tempoh 2013-2025 itu merangkumi visi sistem pendidikan dan aspirasi pelajar yang diperlukan oleh negara.

Ia mencadangkan 11 anjakan strategik dan operasi yang akan diperlukan untuk mencapai visi yang telah ditetapkan.

Najib berkata transformasi pendidikan bukan sekadar menambah bilangan kakitangan dan kemudahan, malah menjurus kepada usaha untuk memahami dan menambah baik proses pengajaran dan pembelajaran.

Katanya, bersandarkan inisiatif yang diperkenalkan di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara, pelan itu menggariskan perubahan besar yang dihasratkan.

Ia antara lain merangkumi aspek pendekatan pembelajaran murid, kaedah pemilihan guru, latihan guru, penyediaan ganjaran kepada guru dan pemimpin sekolah dan pendekatan pengoperasian Kementerian Pendidikan.

Najib berkata pelan itu dengan jelas menggambarkan faktor penambahbaikan penting bagi setiap langkah dalam perjalanan transformasi yang bakal dilalui, dan walaupun kesemua matlamat itu melambangkan cita-cita yang tinggi, namun beliau yakin ia mampu dicapai.

Matlamat itu, menurut Najib, termasuk memastikan enrolmen sejagat pada pelbagai peringkat pendidikan iaitu daripada prasekolah hingga menengah atas dalam tempoh 10 tahun akan datang selain mengurangkan jurang pencapaian antara kelompok kaya dengan miskin, bandar dan luar bandar dan antara negeri dalam tempoh yang sama.

Ia juga meletakkan sasaran untuk meningkatkan kedudukan pencapaian negara daripada kelompok sepertiga terbawah kepada kelompok sepertiga teratas dalam kalangan negara yang menyertai pentaksiran peringkat antarabangsa, seperti Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) dan Kajian Trend Pendidikan Matematik dan Sains Antarabangsa (TIMSS), dalam tempoh 15 tahun akan datang.

Turut menjadi matlamat ialah membina sistem pendidikan yang mengasuh kanak-kanak untuk menghargai keunikan identiti sebagai warganegara Malaysia, katanya.

"Secara keseluruhannya, hasrat ini mesti dicapai melalui pengagihan sumber yang terancang dan teliti, dan seterusnya memastikan setiap ringgit dibelanjakan untuk meningkatkan keberhasilan dan kemenjadian murid," katanya.

Mengakui bukan mudah untuk melaksanakan transformasi sistem pendidikan, Najib memberi jaminan bahawa kerajaan, Kementerian Pendidikan dan beliau sendiri komited untuk mencapai kesemua matlamat dan aspirasi yang digariskan.

Perdana Menteri menekankan bahawa ibu bapa, anggota masyarakat sehinggalah sektor swasta, semuanya mempunyai peranan dalam meningkatkan kualiti sistem pendidikan negara yang akan membantu menyemai benih kejayaan anak-anak.

Beliau turut menggesa seluruh masyarakat di negara ini untuk bersama-sama mengharungi perjalanan yang mencabar dan amat penting itu secara bersama, sebagai satu bangsa. - BERNAMA

Artikel Lain