suria

Shahrizat Janji Terus Bawa Kecemerlangan Wanita

KANGAR: Ketua Pergerakan Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berharap dapat mengekalkan jawatan yang disandang bagi merealisasi cita-cita beliau untuk terus membawa kecemerlangan kepada golongan itu di negara ini.

Beliau berkata kecemerlangan calon wanita dalam pilihan raya umum ke-13 bukan sahaja mengekalkan prestasi sebelum ini malah akan terus memacu kejayaan lebih cemerlang pada pilihan raya umum ke-14.

Shahrizat berkata demikian semasa berucap pada majlis perjumpaan Aidilfitri Pergerakan Wanita Umno Negeri Perlis di Dewan Residensi di sini, Jumaat.

Beliau juga berkata umur bukanlah ukuran yang menunjukkan kelemahan kaum wanita untuk berkhidmat malah mereka yang berumur lebih berpengalaman dan matang serta mampu membawa wanita ke arah kecemerlangan.

Terdahulu, Ketua Wanita Umno Negeri Perlis Rela Ahmad berkata pergerakan itu di negeri ini memberi sokongan padu kepada Shahrizat sebagai Ketua Pergerakan Wanita Umno.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Perlis itu juga berkata tenaga dan pemikiran Shahrizat masih diperlukan dan beliau yakin melalui kepimpinan Wanita Umno akan terus cemerlang. -BERNAMA

Artikel Lain