suria

Pelan Pendidikan Hasrat Capai Hasil Awal

KUALA LUMPUR: Orang ramai dijangka dapat melihat perubahan ketara dalam kaedah pelaksanaan sistem pendidikan negara tidak lama selepas pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

Antara hasil awal yang dijangka dilihat ialah syarat pengambilan guru diperketat dan dikuatkuasakan di semua institut pendidikan guru dan institusi pendidikan tinggi awam.

Ia turut menyasarkan 100 peratus sekolah mempunyai sambungan Internet dengan kelajuan sekurang-kurangnya 4Mbps melalui 1BestariNet, menurut PPPM 2013-2025 yang dilancarkan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin, di sini Jumaat.

Satu lagi hasil awal yang dijangka diraih susulan pelaksanaan pelan pendidikan itu ialah semua guru opsyen bahasa Inggeris di bawah tahap penguasaan, dilatih untuk meningkatkan kemahiran.

Daripada segi ujian, 20 peratus daripada soalan peperiksaan akan digunakan untuk mentaksir kemahiran berfikir aras tinggi dalam kalangan pelajar.

Prestasi guru turut diberi keutamaan dengan 410,000 guru akan dinilai melalui apa yang disifatkan sebagai instrumen bersepadu, dan 61,000 guru bahasa Inggeris dinilai pada tahap kecekapan berbahasa mengikut standard antarabangsa.

"Perubahan ini akan menjadi asas hasil yang dihasratkan untuk masa depan," kata pelan pembangunan berkenaan.

Pelan itu melakarkan visi sistem pendidikan dan aspiasi pelajar yang dapat memenuhi keperluan negara pada masa depan.

Ia mencadangkan 11 anjakan strategik dan operasi yang perlu dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan untuk mencapai visi yang dihasratkan. - BERNAMA

Artikel Lain