suria

Ops Laju & Pelbagai: 191 Pemandu Disaman

KUALA LUMPUR: Seramai 191 pemandu termasuk bas dan lori disaman dalam Ops Laju dan Pelbagai di tiga lebuh raya utama di sini, lewat malam Khamis.

Ketua Trafik Pasukan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman Datuk Abdul Aziz Yusof berkata 58 saman untuk bas, lori (lapan) dan 125 kenderaan lain bagi pelbagai kesalahan termasuk melebihi had laju ditetapkan dan menggunakan tayar botak.

"Operasi bermula jam 11.30 malam hingga 3.30 pagi ini diadakan serentak di tiga arah lebuh raya iaitu di Sungai Buloh bagi kawasan utara, Senawang (selatan) dan Karak (timur).

"Matlamatnya ialah untuk mengesan pemandu yang masih ingkar peraturan jalan raya sekali gus mengurangkan kadar kemalangan," katanya yang ditemui pemberita di Hentian Sebelah Sungai Buloh di sini lewat malam Khamis.

Abdul Aziz berkata operasi itu akan diteruskan dari semasa ke semasa untuk membimbing pemandu mengenai kepentingan mematuhi peraturan jalan raya dan pada masa sama menjaga keselamatan penumpang.

Seramai 20 pegawai dan 100 anggota penguatkuasa daripada Unit Trafik Lebuhraya Bukit Aman terlibat dalam operasi itu. - BERNAMA

Artikel Lain