suria

Lima Keberhasilan Diharap Dicapai Bagi Sistem Pendidikan Negara

KUALA LUMPUR: Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 berhasrat untuk mencapai lima keberhasilan bagi sistem pendidikan Malaysia secara keseluruhan merangkumi akses, kualiti, ekuiti, perpaduan dan kecekapan.

Menurut pelan itu yang dilancarkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin merangkap Menteri Pendidikan, kementerian berhasrat memastikan kadar akses sejagat dalam kalangan kanak-kanak dari peringkat prasekolah hingga ke peringkat menengah atas (Tingkatan 5) menjelang tahun 2020.

Dari segi kualiti, kementerian berharap kedudukan sistem pendidikan negara diletakkan dalam kelompok sepertiga teratas dalam pentaksiran antarabangsa mengikut pengukuran Kajian Trend Pendidikan Matematik dan Sains Antarabangsa (TIMSS) dan Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) yang menguji bacaan, Matematik dan Sains dalam tempoh 15 tahun.

Selain itu, jurang pencapaian antara murid bandar dengan luar bandar, tahap sosioekonomi dan pencapaian antara gender sehingga 50 peratus menjelang 2020 juga diharap dapat dirapatkan serta menjana suatu sistem pendidikan yang memberi peluang kepada murid berkongsi pengalaman berinteraksi dengan pelbagai etnik bagi memperkukuh asas perpaduan rakyat.

Dari segi kecekapan, walaupun kerajaan terus mengekalkan tahap pelaburan semasa, kementerian berhasrat untuk memaksimum keberhasilan murid mengikut tahap peruntukan semasa.

Selain keberhasilan sistem pendidikan, setiap murid juga perlu berupaya untuk bersaing pada peringkat global.

Oleh itu, sebanyak enam ciri utama membabitkan pengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran memimpin, kemahiran dwibahasa, etika dan kerohanian, dan identiti nasional perlu ada pada setiap murid sejajar dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Dari segi pengetahuan, setiap kanak-kanak perlu menguasai sepenuhnya kemahiran literasi dan numerasi di peringkat paling asas serta pelbagai kemahiran kognitif termasuk penaakulan dan pemikiran kritis, kreatif serta inovatif dari segi kemahiran berfikir.

Mereka juga perlu menguasai bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan serta bahasa Inggeris sebagai bahasa komunikasi antarabangsa serta digalakkan untuk mempelajari bahasa lain sebagai bahasa tambahan.

Di samping itu, setiap murid akan dibantu untuk mencapai potensi mereka dengan sepenuhnya melalui bekerja dalam pasukan dan mengamalkan ciri kepimpinan yang merangkumi keusahawanan, berdaya tahan, kecerdasan emosi, dan kemahiran berkomunikasi secara berkesan serta dibentuk sebagai individu penyayang yang dapat menyumbang kepada kesejahteraan komuniti dan negara dari segi etika dan kerohanian.

Selain itu, setiap murid dipupuk dengan semangat patriotik dengan cara memahami sejarah negara dan berkongsi aspirasi yang sama untuk masa depan negara kerana identiti nasional akan dapat dicapai bukan hanya belajar memahami dan menerima kepelbagaian tetapi juga menghayati kepelbagaian. - BERNAMA

Artikel Lain