suria

Lima Batalion Baru Ditempatkan di Lahad Datu Dalam Waktu Terdekat

LAHAD DATU: Kawalan keselamatan di sempadan pantai timur Sabah bakal diperkukuhkan lagi dengan penempatan lima batalion baharu ke Lahad Datu dalam waktu terdekat.

Ketua Pengarah Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) Datuk Mohammad Mentek berkata batalion itu yang terdiri anggota tentera dan polis akan dapat memantapkan lagi pemantauan dan operasi rondaan.

Bercakap kepada Bernama hari ini, katanya batalion baharu itu yang diluluskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini akan meningkatkan kawalan keselamatan dan kesejahteraan rakyat Sabah. "Batalion-batalion itu akan ditempatkan di lokasi dikenal pasti sebagai "kawasan berisiko tinggi dicerobohi" termasuk Felda Sahabat.

"Kami telah mengenal pasti kawasan yang berpotensi tinggi dicerobohi di pantai timur Sabah. Penempatan lima batalion baharu itu akan banyak membantu kami dalam menjamin keamanan dan melindungi kawasan tersebut.

Mohammad berkata sebagai tambahan kepada lima batalion itu, polis telah bersetuju untuk menempatkan dua batalion lagi, menjadikan jumlahnya tujuh batalion. "Jumlah anggota keselamatan di daerah itu juga akan ditambah dalam waktu terdekat. Penubuhan Esscom dengan kekuatan anggota keselamatan menunjukkan kerajaan serius mahu memastikan keselamatan negara dan rakyat terjamin.

"Kita juga patut menghargai kerjasama erat diberikan agensi-agensi penguatkuasa terhadap peranan Esscom," katanya. Penubuhan Esscom diumumkan Perdana Menteri pada 7 Mac, meliputi daerah-daerah di pantai timur negeri ini ekoran pencerobohan pengganas dari selatan Filipina.

Esscom ialah ejen penguatkuasaan bagi Zon Selamat Timur Sabah (Esszone).

Esszone merangkumi 10 daerah Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau sepanjang 1,400 kilometer pantai timur Sabah.

Sementara itu, Mohammad berkata khabar angin mengenai kemungkinan pencerobohan oleh pengganas di Sabah disiasat secara teliti.

"Khabar angin telah disebarkan menerusi pelbagai cara bertujuan mencetuskan panik dan kekeliruan dalam kalangan rakyat dan perlu ditangani secara efektif.

"Khabar angin itu menjejaskan usaha untuk mengekalkan keamanan dan keharmonian dan perlu dihentikan. Untuk menjamin keamanan, kita tidak perlukan khabar angin, yang boleh mengelirukan rakyat. Kami akan siasat semua khabar angin itu dan pihak yang menyebarkannya".

Mohammad menegaskan keadaan di pantai timur telah kembali normal, aman dan stabil. "Tiada sebarang gangguan dari luar disebalik penyebaran khabar angin ini," katanya.

Daerah Tawau dikatakan kononnya bakal menjadi sasaran kedua pengganas Sulu dengan yang pertamanya semasa Aidilfitri. Khabar angin terbaharu ialah awal minggu ini kononnya sebuah bot membawa pengganas dikatakan sudah berada di Tawau.

Mohammad dan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar menafikan perkara itu. - BERNAMA

Artikel Lain