suria

Dua Warga Thailand Miliki Kelongsong Peluru Ditahan Di Padang Besar

KANGAR: Dua warga Thailand ditahan dalam Ops Cantas Khas di Kompleks bersepadu Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ) di Padang Besar.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perlis, Supt Tengku Mohd Zailan Tengku Ahmad Shah berkata dalam operasi yang bermula 5 petang itu, polis menemui satu kelongsong peluru .22 di dalam kenderaan yang dinaiki pasangan itu.

"Mereka yang ditahan ialah seorang lelaki berumur 24 tahun dan seorang wanita berusia 23 tahun," katanya kepada pemberita di sini, Jumaat.

Kedua-dua mereka ditahan reman selama empat hari bermula semalam dan siasatan akan menjurus bagaimana kelongsong itu berada dalam kenderaan berkenaan, katanya.

Dalam Ops Cantas yang diketuai Tengku Mohd Zailan di sekitar Wang Kelian dan Padang Besar itu, sebanyak 379 individu dan 529 kenderaan diperiksa. -BERNAMA

Artikel Lain