suria

Rakaman CCTV Tunjuk Konkrit Jatuh Menegak Hempap Kereta - Saksi

GEORGE TOWN: Mahkamah Koroner pada Khamis diberitahu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan sebuah konkrit jatuh secara menegak dan mengenai bahagian belakang sebuah kenderaan dalam kejadian hujan lebat dan angin kencang yang menyebabkan penebat kilat di Menara Umno di Jalan Macalister runtuh.

Ketua Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Lebuh Pantai Ismail Mohd Zain berkata rakaman CCTV yang diperoleh dari bilik kawalan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) yang dilihat berulang kali dalam gerak biasa dan gerak perlahan jelas menunjukkan konkrit yang jatuh secara menegak itu juga telah membenam sebuah kenderaan ke dalam tanah.

"Selepas beberapa kali melihat rakaman CCTV itu saya terus memaklumkan kepada Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri mengenai rakaman itu kerana disyaki ada mangsa yang terlibat," kata Ismail, saksi ke-15 prosiding inkues yang didengar di hadapan Koroner Khairul Anuar Abdul Halim.

Inkues berkenaan diadakan bagi mengesahkan kematian seorang penjual nasi, Lim Chin Aik, 44, dipercayai tertimbus di dalam kawasan runtuhan penebat kilat di Jalan Macalister.

Inkues itu juga bagi membolehkan Jabatan Pendaftaran Negara mengeluarkan sijil kematian dan bertujuan memudahkan urusan tuntutan insurans oleh keluarga mangsa.

Ismail berkata beliau kemudiannya bergegas ke tempat kejadian dan memaklumkan kepada pihak polis yang bertugas di kawasan berkenaan bahawa disyaki terdapat mangsa terlibat dalam insiden itu.

"Pada kedalaman kira-kira 3.05 meter pasukan penyelamat mula menjumpai bahagian hadapan kereta yang ada tertulis nombor casis kereta, apabila kerja-kerja mengorek diteruskan lagi sedalam 1.5 meter pasukan penyelamat menjumpai bahagian badan kereta dan tayar," katanya.

Terdahulu, saksi ke-13 iaitu Juruteknik Kanan Unit Perancangan Lalu Lintas MPPP Omar Mat Kassim memberitahu mahkamah bahawa beliau menyangkakan konkrit yang terjatuh dan mengenai sebuah kenderaan dalam kejadian hujan lebat dan angin kencang pada 13 Jun lepas adalah gangguan pada imej CCTV akibat cuaca buruk.

Beliau yang tidak mengesyaki terdapat mangsa terlibat dalam kejadian itu memberitahu bahawa beliau tidak menonton rakaman CCTV itu sehinggalah kontraktor datang untuk menyelenggara CCTV yang rosak akibat gangguan bekalan elektrik pada 15 Jun lepas.

"Ketika itu saya telah melihat sekali lagi rakaman CCTV secara gerak perlahan dan waktu itu baru saya sedar terdapat sebuah konkrit terjatuh di atas sebuah kereta dan bukannya gangguan imej seperti yang saya sangka pada awalnya," katanya. Insiden itu turut meragut nyawa seorang pekerja asing, Jahir Sulaiman, 46, selepas lori yang dinaiki bersama rakan sekerja dihempap penebat kilat Menara Umno yang runtuh.

Khairul Anuar dibantu Timbalan Pendakwa Raya Lim Cheah Yit dan Siti Fatimah Talib, peguam Gobind Singh Deo bagi pihak keluarga mangsa serta peguam JKP Sdn Bhd (pemilik bangunan Menara Umno) Abdul Fareed Abdul Gafoor, yang dibantu Norliza Ali. -BERNAMA

Artikel Lain