suria

Polis Tahan Tiga Remaja Termasuk Seorang Geng Kongsi Gelap

NIBONG TEBAL: Polis menahan tiga remaja lelaki bagi membantu siasatan berhubung kejadian seorang pengusaha restoran cedera parah selepas ditembak ketika memberhentikan keretanya di kawasan perniagaan Taman Merak di sini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang SAC Mazlan Kesah berkata tiga remaja belasan tahun itu ditahan di rumah masing-masing di sekitar Bukit Mertajam semalam dan awal pagi Khamis.

"Berdasarkan siasatan, polis berjaya mengesan seorang daripada tiga remaja berkenaan dan menyerbu rumahnya malam tadi.

"Susulan penahanan itu, polis menahan dua lagi remaja di rumah masing-masing di Bukit Mertajam awal pagi ini. Kesemua suspek direman tujuh hari bagi membantu siaSatan," katanya ketika dihubungi Bernama, Khamis.

Mazlan berkata seorang daripada remaja yang ditahan itu merupakan anggota geng kongsi gelap dan usaha mengesan beberapa individu yang terlibat dalam kejadian itu masih dijalankan.

Dalam kejadian pukul 3.13 petang itu, mangsa, 43, baru memberhentikan keretanya di situ apabila didatangi dua lelaki menaiki motosikal jenis Honda dan seorang daripadanya melepaskan empat das tembakan ke arahnya. - BERNAMA

Artikel Lain