suria

Penahanan Samad Said Ikut Prosedur - KPN

KUALA LUMPUR: Polis mengikut prosedur dalam penahanan Sasterawan Negara, Datuk A.Samad Said (gambar) awal pagi Rabu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata anggota polis pergi ke rumah Samad pada petang Selasa namun beliau tidak ada di rumah.

"Kami telah menunggu dan beliau hanya pulang ke rumah lewat tengah malam," katanya.

"Kita telah cuba masuk ke rumahnya dengan berhati-hati dan berjaya menahan beliau," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama dalam satu forum pada Khamis.

Beliau menambah bahawa polis telah memberikan Samad masa yang mencukupi untuk menyerah diri.

"Dia sepatutnya tahu setiap tindakannya ada akibatnya.

"Beliau sepatutnya lebih tahu daripada menyalahkan pihak polis kerana mengambil tindakan," katanya sambil menambah bahawa polis bertindak mengikut kerangka undang-undang.

Polis telah meminta Samad menyerah diri berhubung dakwaan penglibatannya dalam satu perhimpunan mengibarkan bendera Sang Saka Malaya pada malam ambang merdeka, di Dataran Merdeka, Jumaat lepas.

Aktivis Hishamuddin Rais dan Adam Adli ditahan pada Isnin kerana penglibatan mereka dalam perhimpunan yang sama.

Mereka bagaimanapun dibebaskan pada pukul 3 petang, Selasa lalu.

Artikel Lain