suria

DAP Yakin Masalah Teknikal Tidak Berulang Kembali Pada Pemilihan Semula CEC

KUALA LUMPUR: DAP yakin masalah teknikal yang berlaku pada pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti itu tidak akan berulang kembali pada pemilihan semula parti itu kerana mereka telah melantik badan audit antarabangsa untuk mengawasi keseluruhan prosedur yang akan dijalankan.

Pemilihan semula parti itu akan diadakan dalam satu kongres khas pada 29 September ini di Hotel One World, Bandar Utama, Petaling Jaya.

Pengerusi Jawatankuasa Kongres Khas DAP, Anthony Loke berkata firma audit antarabangsa itu telah mula mengawasi proses pemilihan semula sejak semalam dan, selepas notis makluman mengenai pemilihan semula diedarkan kepada semua perwakilan.

"Firma ini akan mula memantau bermula hari ini hinggalah hari kongres khas nanti termasuk proses pendaftaran perwakilan dan proses pengiraan undi.

"Kita yakin ini kaedah seperti ini dapat memastikan bahawa tidak lagi berlaku sebarang kesilapan teknikal seperti mana yang berlaku sebelum ini," katanya kepada pemberita di ibu pejabat DAP di sini, Khamis.

Loke berkata ini merupakan kali pertama parti itu melantik firma audit untuk memantau proses pemilihan parti berkenaan.

"Ia bukanlah satu keperluan namun kami melakukan ini demi menunjukkan komitmen kami da tiada apa yang kami mahu sembunyikan," katanya.

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan nama firma berkenaan hingga kongres khas itu diadakan kerana DAP tidak mahu syarikat berkenaan menerima tekanan politik.

Loke berkata surat makluman mengenai pemilihan CEC akan dihantar kepada 2,576 perwakilan - (tiga minggu lebih awal sebelum mesyuarat diadakan).

Beliau berkata parti berharap lebih 71 peratus perwakilan akan hadir pada pemilihan semula CEC kali ini.

Loke berkata DAP juga akan menyerahkan sendiri surat rasmi bagi memaklumkan mengenai pemilihan semula CEC itu kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS)

"Ia bukanlah satu keperluan mengikut perlembagaan parti namun patuh kepada arahan ROS," katanya.

Loke berkata senarai calon yang sama digunakan pada pemilihan CEC Disember tahun lalu akan digunakan pada pemilihan semula parti kali ini.

Pada 30 Julai lalu, Ketua Pengarah ROS, Datuk Abdul Rahman Othman telah mengarahkan DAP mengadakan pemilihan semula CEC parti kerana beliau tidak berpuas hati dengan 'kesilapan teknikal' yang berlaku dalam pemilihan DAP pada Disember lalu.

Kontroversi mula timbul apabila pengiraan semula yang mendedahkan bahawa Setiausaha Politik, Lim, Zairil Khir Johari yang pada mulanya menerima 305 undi, meraih 803 undi.

Artikel Lain