suria

Amaran Banjir Kilat

PETALING JAYA: Rakyat Malaysia boleh menarik nafas lega untuk tempoh beberapa minggu akan datang kerana jerebu pasti tidak akan kembali namun mereka perlu berhati-hati dengan amaran banjir kilat bakal berlaku pada bila-bila masa, kata Jabatan Meteorlogi Malaysia (JMM).

Pengarah Pusat Ramalan Cuaca Jabatan Meterologi, Muhammad HelmiAbdullah berkata perubahan angin telah membentuk kondisi bagi formasi awan yang membawa hujan.

"Perubahan corak ini akan berakhir sekurang-kurangnya awal minggu hadapan.

"Kita jangka taburan hujan yang banyak di kebanyakan kawasan di Semenanjung terutamanya kawasan pedalaman Kelantan, Terengganu and Pahang,” katanya kepada The Star.

Muhammad Helmi berkata banjir kilat yang berlaku baru-baru ini disebabkan oleh formasi awan yang membawa ribut petir disertai dengan hujan lebat dan kebanyakannya pada waktu petang.

Beliau berkata corak cuaca sekarang disebabkan oleh angin tenggara yang melanda wilayah utara serta selatan dan bergerak pada kelajuan 10 kilometer sejam dan 20 kilometer sejam.

"Sebahagian daripada Sumatera, terutamanya kawasan tengah, juga mengalami taburan hujan lebat. Kondisi angin juga disebabkan oleh formasi awam tebal," katanya.

Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang dikeluarkan oleh Jabatan Alam Sekitar menunjukkan tiada kawasan yang mencatatkan IPU tidak sihat pada Rabu.

Kebanyakan lokasi mencatatkan IPU yang sihat.

Sementara itu, Pusat Meteorlogi Khas Asean mengesan empat titik panas di Sumatera.

Jerebu teruk melanda Indonesia dan Malaysia Jun lalu, menyebabkan kerajaan terpaksa mengisytiharkan darurat di Muar dan Ledan selepas dua daerah di Johor itu mencatatkan bacaan IPU berada pada tahap berbahaya iaitu melebihi 700.

Rabu lalu, rakyat Malaysia bimbang jerebu akan kembali melanda negara selepas bacaan IPU di beberapa kawasan di utara Semenanjung iaitu Bakar Arang, Sungai Petani, Kedah mencatatkan IPU tidak sihat iaitu 104.

Berdasarkan indeks kualiti, bacaan antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 ke 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas sebagai berbahaya.

Sementara sebarang bacaan melebihi 500 menyebabkan sesebuah kawasan diisytiharkan sebagai 'darurat'.

Artikel Lain