suria

Pengguna Dijangka Perlu Bayar Tambang Pengangkutan Awam Lebih Tinggi

PETALING JAYA: Kenaikan 20 sen bagi petrol RON 95 dan diesel dijangka menyebabkan pengguna perlu membayar tambang yang lebih tinggi kerana kos operasi pengangkutan awam dijangka turut mengalami peningkatan, menurut beberapa pengusaha pengangkutan awam di negara ini.

Mereka juga meminta pengguna bersedia untuk menghadapi sebarang perubahan kerana barangan dan perkhidmatan juga dijangka lebih mahal selepas ini.

Persatuan Pengusaha Bas Pan Malaysian, yang mempunyai 130 ahli di seluruh negara mengjangkakan tambang akan naik secara berperingkat dengan bus ekspres dijangka mencatatkan kenaikan sebanyak 5 peratus dan 30 peratus dalam masa terdekat.

"Kenaikan harga diesel telah menyebabkan berlaku peningkatan kos operasi secara terus sebanyak 5 peratus dan ini akan meninggalkan kesan terhadap pengusaha bas di negara ini," kata Presidennya, Datuk Ashfar Ali.

"Kami menggesa kerajaan segera mengurangkan impak terhadap kenaikan diesel ini kerana ini akan menyukarkan pengusaha bas untuk menyerap peningkatan kos kenaikan bahan api," katanya kepada 'The Star'.

Pengusaha bas kini diberikan kuota sebanyak 1,400 liter diesel setiap bulan bagi bas henti-henti dan 2,800 liter bagi bas ekspres.

Kuota harga bagi diesel kini adalah RM1.68 setiap liter.

Pengusaha bas perlu membayar harga yang lebih tinggi di iaitu RM2 sekiranya kegunaan mereka melebihi kuota yang ditetapkan setiap bulan.

Ashfar mencadangkan agar kerajaan meningkatkan kuota diesel bagi bas henti-henti kepada 3,000 liter setiap bulan dan 6,000 liter bagi bas ekspres.

Sementara itu, Persatuan Pengusaha Lori Selangor dan Kuala Lumpur berkata kos diesel merupakan 30 hingga 40 peratus daripada perbelanjaan keseluruhan ahli-ahlinya.

Justeru, kenaikan harga bahan api akan meningkatkan kos operasi mereka sebanyak 5 hingga 8 peratus, kata Setiausaha Agungnya, Alvin Choong.

"Ini satu peningkatan yang nyata. Pengusaha sudah pasti akan cuba meletakkan beban kenaikan harga bahan api ini kepada pengguna," katanya.

Bagaiamanapun, beliau berkata kenaikan harga barangan yang disebabkan oleh peningkatan harga bahan api 'tidak terlalu tinggi'.

Chong, menjangka kerajaan akan menaikkan lagi harga diesel tidak lama lagi, dan berkata ia tidak sepatutnya dilakukan secara berperingkat-peringkat.

Presiden Persatuan Syarikat Pengangkutan Malaysia, Datuk Che Azizuddin Che Ismail berkata memang menjadi 'satu kelaziman' kepada pengguna yang perlu membayar lebih apabila kos operasi meningkat.

Beliau berkata kos tambahan bergantung kepada jenis kenderaan yang digunakan oleh pengusaha dan jenis kargo yang digunakan untuk mengangkut.

"Ia terpulang kepada pengusaha berapa banyak kos yang mereka akan pindahkan kepada pengguna," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain