suria

Pemilik Rumah Cedera Bergelut Dengan Lima Penyamun

ROMPIN: Seorang pemilik rumah cedera ditetak akibat bergelut dengan lima penyamun yang bersenjatakan parang di Felda Keratong, Muadzam Shah di sinim Selasa.

Ketua Polis Daerah Supt Johari Yahaya berkata dalam kejadian jam 3 pagi itu mangsa yang berumur 27 tahun, bersama ibunya, 57, dan adik perempuannya, 23, sedang nyenyak tidur sebelum dikejutkan lima lelaki yang dipercayai warga Indonesia.

"Mangsa yang panik melihat suspek di dalam rumahnya bertindak melawan dan bergelut dengan suspek. Mangsa juga mendakwa sempat memukul salah seorang suspek dengan besi pasu bunga sebelum ditetak di tangan kanan, jari kiri, belakang badan dan bahagian tepi pinggangnya," katanya kepada pemberita di sini, Rabu.

Beliau berkata selepas pergelutan itu suspek bertindak menggeledah rumah mangsa dan mengambil barangan berharga sebelum melarikan diri.

Ibu dan adik mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan sementara mangsa dibawa ke Hospital Muadzam Shah untuk menerima rawatan lanjut.

Sementara itu Johari berkata dua lelaki yang berumur sekitar 30-an cedera akibat dipukul dengan kayu selepas bergelut dengan empat lelaki di rumah mereka di Felda Chanis Keratong di sini kira-kira 3.30 pagi tadi.

Katanya dalam kejadian itu mangsa sedang tidur sebelum terkejut dengan kehadiran empat lelaki bersenjatakan kayu di dalam rumah mereka.

"Suspek melarikan barang kemas, lima buah telefon bimbit dan wang tunai RM1,300," katanya.

Kedua-dua mangsa terbabit turut dirawat di Hospital Muadzam Shah.

Beliau berkata polis sedang memburu penyamun terbabit dan siasatan dilakukan bagi memastikan sama ada kedua-dua kejadian didalangi kumpulan yang sama. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain