suria

Pembantu Syariah Jais Didakwa Peroleh Suapan Lupus Fail Kes Khalwat

SHAH ALAM: Seorang pembantu syariah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini Selasa atas pertuduhan memperoleh suapan RM3,000 bagi melupuskan fail siasatan kes khalwat seorang wanita warga Indonesia, dua bulan lepas.

Mohd Khairul Nizam Mohd Asari, 27, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di depan Hakim M.Bakri Abdul Majid.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Pavilion Cafe, Hotel Concorde di sini pada 6.10 petang, 11 Julai lepas mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang membawa hukuman penjara minimum 15 hari dan maksimum 20 tahun serta denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Mengikut pertuduhan, Mohd Khairul Nizam memperoleh suapan itu daripada Putu Suciani, 20-an, yang berstatus penduduk tetap (PR), sebagai dorongan untuk melupuskan fail siasatan Jais agar wanita berkenaan tidak didakwa di bawah Seksyen 29 (1) a & b Enakmen Jenayah Syariah.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 3 Oktober ini untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendali Pegawai Pendakwa SPRM Mahamad Sukri Seman manakala Mohd Khairul Nizam diwakili peguam Abdul Halim Mohd Husin. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain