suria

Kumpulan Kongsi Gelap Berdaftar Juga Akan Dikenakan Tindakan - KPN

KUALA LUMPUR: Polis akan mengambil tindakan tegas terhadap kumpulan kongsi gelap yang berdaftar sebagai sebuah pertubuhan yang sah.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar memberi amaran bahawa kumpulan berkenaan tidak akan mendapat perlindungan walaupun mereka merupakan pertubuhan yang berdaftar.

"Sekiranya benar ada kumpulan kongsi gelap yang mendaftarkan diri mereka dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS). Jangan fikir kita tidak akan mengambil tindakan terhadap mereka," katanya kepada pemberita pada Selasa.

Ketua Pengarah ROS, Datuk Abdul Rahman Othman dilaporkan berkata pada Isnin bahawa terdapat tiga daripada 49 kumpulan kongsi gelap yang diumumkan oleh polis Jumaat lalu didapati mendaftar sebagai sebuah pertubuhan dengan ROS.

ROS mendapati simbol dan nama dan logo mereka digunakan oleh dua kumpulan daripada Sabah sementara satu lagi daripada Semenanjung Malaysia mempunyai persamaan dengan senarai yang diumumkan oleh pihak polis.

Khalid turut memberitahu bahawa nama ketua kumpulan kongsi gelap berkenaan akan hanya diumumkan sekiranya ada keperluan untuk berbuat demikian.

Ia ekoran gesaan beberapa pertubuhan bukan kerajaan yang meminta nama ketua kumpulan kongsi gelap dan pengikutnya segera diumumkan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain