suria

Ibu Pejabat Umno Sibuk Dengan Persiapan Pemilihan

PETALING JAYA: Ibu pejabat Umno sedang sibuk membuat persiapan bagi calon-calon yang berhasrat untuk bertanding dan mereka yang akan memfailkan kertas pencalonan pada 21 September ini.

Setiausaha Kerjanya, Datuk Rauf Yusoh berkata urusan selama sehari ia akan menyaksikan siapa yang akan layak untuk bertanding jawatan tertinggi bagi sayap Pemuda, Wanita dan Puteri sebaik sahaja mereka menyerahkan kertas pencalonan masing-masing di Menara Dato Onn.

Calon yang bertanding bagi pemilihan di peringkat bahagian akan menyerahkan kertas undi mereka kepada pejabat Umno negeri pada hari yang sama.

"Berdasarkan cakap-cakap di kalangan orang Umno, kami yakin ramai ahli akan bertanding untuk jawatan tersebut dalam parti. Kita jangka, ratusan ahli akan menawarkan diri.

"Ibu pejabat parti telah memutuskan untuk menerima kertas pencalonan daripada Majlis Tertinggi dan ketiga-tiga sayap kerana kami tidak mahu pejabat Umno negeri terbeban dengan kertas kerja,” katanya kepada The Star.

Ini kali pertama, pimpinan tertinggi Umno dipilih oleh 150,000 ahli sementara jawatan dalam Pemuda, Wanita dan Puteri akan ditentukan oleh 100,000 ahli diperingkat akar umbi selepas pindaan perlembagaan parti seiring dengan program transformasi yang diumumkan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ia berbeza denngan amalan pemilihan sebelum ini yang memberikan kuasa memilih pucuk pimpinan ditangan 2,500 perwakilan pada Perhimpunan Agung Umno.

Kali terakhir pemilihan parti diadakan ialah pada 2009.

Rauf berkata senarai penuh calon akan disiapkan dalam tempoh beberapa hari selepas kertas pencalonan dihantar.

"Kami akan benarkan calon menarik diri daripada pertandingan dan butiran lanjut mengenainya akan diumumkan dalam taklimat khas media tidak lama lagi," tambahnya.

Pemilihan bagi sayap Pemuda, Wanita dan Puteri akan diadakan pada 12 Oktober sementara pemilihan bagi Majlis Tertinggi akan diadakan pada 19 Oktober.

Perhimpunan Agung Umno pula akan berlangsung selama enam hari bermula 2 Disember depan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain