suria

Nelayan Rentung Bot Terbakar

KEMAMAN: Seorang nelayan ditemui rentung dalam kejadian botnya terbakar di Sungai Kemaman berhadapan jeti Kastam di sini malam Isnin.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Supt Che Suza Che Hitam berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira pukul 10 malam Isnin berhubung kebakaran itu.

Katanya, mayat Hussain Mohamad, 69, berasal dari Dusun Nyior di sini ditemui dalam bot itu dan dihantar ke Hospital Kemaman untuk bedah siasat.

Siasatan awal mendapati kebakaran berpunca daripada enjin bot bagaimanapun siasatan lanjut berhubung kejadian itu masih dijalankan pihak forensik polis, katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Sementara itu, isteri Hussain, Baharu Abdullah, 68, berkata semalam suaminya yang telah setahun tidak turun ke laut telah pergi mencadat sotong.

"Ketika berada di tempat kerja saya cuba menghubunginya namun tidak dijawab dan saya cuba hubungi lagi pukul 8 malam tadi tetapi talian telah ditutup.

"Saya agak risau dengan keadaan suami kerana dia mempunyai masalah jantung," katanya kepada pemberita di sini dengan penuh sayu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain