suria

Cadangan Garis Panduan Pusat Penyembelihan Ayam, Itik Di PBT Diluluskan

PUTRAJAYA: Mesyuarat Majlis Negara bagi kerajaan tempatan pada Selasa meluluskan cadangan garis panduan pusat penyembelihan ayam, itik dan unggas di kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Mesyuarat dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan turut dihadiri Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Datuk Abdul Rahman Dahlan.

Menurut kenyataan diedarkan KPKT selepas mesyuarat, garis panduan itu antara lain menetapkan dasar supaya tidak dibenarkan aktiviti penyembelihan ayam dan itik di pasar dalam kawasan PBT.

Dasar itu bertujuan mengawal kejadian penyakit berjangkit berpunca daripada aktiviti penyembelihan dan mengawal pencemaran air sungai yang berpunca daripada pembuangan efluen hasil daripada aktiviti penyembelihan.

"Langkah itu juga bagi memastikan tempat penyembelihan sesuai, teratur, dan bersih selain memastikan keperluan aspek halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Majlis Agama Islam Negeri dipenuhi," menurut kenyataan itu.

Dasar itu turut bertujuan mengurangkan kacau ganggu daripada lipas, lalat dan tikus serta mengawal sisa buangan pepejal.

Mesyuarat turut meluluskan cadangan inisiatif memantapkan urusan permit pembinaan di PBT dan agensi teknikal luar serta sumbangan PBT kepada Kumpulan Wang Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (KWPSPPA) bagi pembayaran penswastaan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam.

Pada mesyuarat itu beberapa cadangan turut dikemukakan seperti cadangan garis panduan perancangan terminal kenderaan berat, cadangan garis panduan penguatkuasaan papan iklan luar bagi makanan dan minuman yang dilarang diiklan di luar kawasan sekolah.

Turut dicadangkan, kajian semula dan pengukuhan penunjuk bandar mampan Malaysia, garis panduan perancangan kemudahan masyarakat, perancangan kejiranan hijau serta kertas makluman status pelaksanaan pusat setempat. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain