suria

Operasi Gempur Pati Bermula

Antara Pati yang ditahan dalam Operasi 6P Bersepadu.
Antara Pati yang ditahan dalam Operasi 6P Bersepadu.
Antara Pati yang ditahan dalam Operasi 6P Bersepadu.

PETALING JAYA: Mereka ditemui bersembunyi di dalam bilik rahsia, atas siling rumah, di belakang dinding dan juga di bawah lantai.

Namun mereka tidak boleh terus menyembunyikan diri dengan penahanan lebih 1,000 pendatang asing tanpa izin (Pati) dalam operasi besar-besaran untuk mengusir golongan tersebut di negara ini.

Operasi itu yang dinamakan Ops 6P Bersepadu bermula tengah malam Sabtu.

Operasi yang dilancarkan itu melibatkan anggota penguatkuasaan dari Jabatan Imigresen, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).

Beberapa senajata turut dirampas dalam operasi tersebut termasuk pedang samurai, tukul dan parang.

Anggota penguatkusaan turut menjumpai laluan rahsia di sebuah pusat hiburan di Melaka Raya, Melaka, yang digunakan oleh Pati untuk melarikan diri.

Timbalan Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Imigresen, M. Saravana Kumar berkata mereka (Pati) cuba mengelak untuk ditangkap dengan bersembunyi di dalam 'bilik khas' yang dibina di dalam bangunan.

"Kami menjumpai bilik rahsia dibina di belakang dinding antara siling dan bumbung bangunan serta juga di bawah lantai rumah setinggan.

"Di beberapa kelab hiburan, disko dan rumah urut, banyak laluan rahsia untuk Pati melarikan diri ketika serbuan," katanya.

Saravana Kumar berkata operasi itu disasarkan terhadap rumah setinggan, ladang-ladang, pusat hiburan dan rumah urut di seluruh negara.

Beliau berkata kesemua Pati yang ditahan akan disiasat dibawah Seksyen 6, 15 (4) dan 55 Akta Imigresen.

"Kesemua Pati akan dihantar pulang dengan segera manakala majikan mereka akan didenda sehingga RM50,000 atau dipenjara sehingga lima tahun, dikenakan enam sebatan atau ketiga-tiganya.

"Kami memberikan amaran kepada majikan untuk tidak mengambil Pati yang bekerja tanpa permit," katanya di Putrajaya pada Ahad.

Fasa pertama operasi itu yang akan berakhir pada akhir tahun ini, akan membabitkan kira-kira 135,000 anggota pelbagai agensi di seluruh negara.

Jabatan Imigresen giat memburu 400,000 Pati dan 45,000 majikan yang masih berdegil menggaji golongan itu.

Ops 6P Bersepadu dilancarkan untuk mengesan mereka yang mendaftar di bawah program Penyelesaian Menyeluruh Pekerja/Pati pada 2011 tetapi tidak hadir untuk proses seterusnya termasuk penghantaran pulang secara sukarela.

Dalam pendaftaran program tersebut yang berakhir Oktober 2011, kira-kira 1.3 juta daripada anggaran dua juta Pati mendaftar dengan Jabatan Imigresen.

Daripada jumlah itu, 500,000 permohonan untuk program tersebut diproses dan 330,000 Pati telah dihantar pulang.

Artikel Sebelum

Artikel Lain