suria

Malaysia Book Of Records Mahu Bina Muzium Pamer Rekod Kejayaan Dalam Negara

KEMAMAN: Malaysia Book Of Records (MBR) merancang untuk membina muzium selewat-lewatnya sebelum 2015 untuk mempamerkan rekod kejayaan yang dicipta di dalam negara.

Pegawai Eksekutif MBR, Aziz Hamdan Ahmad berkata pihaknya kini sedang mengenal pasti lokasi muzium itu.

"Ramai menteri dan menteri besar menawarkan bangunan bagi menempatkan muzium Malaysia Book Of Records di negeri-negeri, tetapi kita belum memberi sebarang maklum balas.

"Cuma kita rasakan biarlah muzium itu diletak di ibu negara bagi memudahkan ia menjadi tumpuan masyarakat mahupun pelancong," katanya kepada pemberita di sini selepas majlis penyerahan sijil olok-olok kepada wakil program jelajah bot fiber dan bot nelayan di Dataran Kuala Kemaman di sini.

Di majlis itu, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek bersama Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said menerima lintas hormat lebih 1,000 peserta jelajah berkenaan yang turut mengibar Jalur Gemilang.

Sebanyak 265 bot mengambil bahagian pada program itu yang diiktiraf sebagai perbarisan dalam air yang terbesar dan belum pernah dibuat sebelum ini yang kesemua bot itu berkapasiti di bawah 125 kuasa kuda.

Konvoi jelajah itu bertolak pada pukul 7 pagi dari tambatan bot Kuala Kerteh hingga ke Kuala Kemaman sejauh 60 kilometer pada pukul 1 tengah hari.

Pengerusi jelajah Mustafa Ab Rahman yang juga Pegawai Tugas-tugas Khas kepada Ahmad Shabery berbangga dengan pengiktirafan MBR kepada mereka.

Jelajah itu yang diselia Kementerian Komunikasi dan Multimedia dianjurkan oleh Persatuan Nelayan Kemasik dan gabungan nelayan daerah Kemaman iaitu dari Kerteh, Kemasik, Kijal, Teluk Kalong dan Kuala Kemaman. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain