suria

JAS Lengkapkan Kertas Siasatan Pembuangan Minyak Enjin Terpakai

KUALA SELANGOR: Jabatan Alam Sekitar sedang melengkapkan kertas siasatan berhubung insiden pembuangan minyak enjin terpakai oleh sebuah bengkel penyelenggaraan lori di Jalan Batu Arang, Rawang ke dalam Sungai Gong.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri G.Palanivel berkata kertas siasatan itu akan disiapkan secepat mungkin sebelum diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tujuan pendakwaan.

Beliau berkata pengusaha bengkel itu boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, yang boleh membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda maksimum RM500,000.

"Kami memandang serius insiden ini. Bengkel itu sepatutnya menghantar minyak enjin terpakai ke fasiliti kitar semula, dan bukannya melepaskan ke dalam sungai," katanya kepada pemberita selepas melawat Loji Pembersihan Air Sungai Selangor Fasa 1 di sini, Ahad.

Beliau berkata mengikut Akta Kualiti Alam Sekitar, semua sisa berjadual perlu dikitar semula atau dilupuskan di fasiliti berlesen agar pencemaran tidak berlaku.

Palanivel berkata ini merupakan kali pertama masalah pencemaran dari bengkel itu dikesan JAS. Mengenai kawalan dan pembersihan kesan buangan minyak itu, beliau berkata muka sauk empat Loji Rawatan Air (LRA) yang operasinya ditutup sementara semalam, telah dibuka semula.

LRA berkenaan ialah di Rantau Panjang manakala tiga buah lagi di Kampung Bukit Badong iaitu SSP1 (SPLASH), SSP2 (Puncak Niaga) dan SSP3 (SPLASH).

"Kerja-kerja mengumpul dan membersihkan buangan minyak oleh pihak premis selesai sekitar 5 petang (semalam) dan loji-loji dibuka semula pada 11 malam (semalam) dan buangan minyak yang dikumpul dianggarkan sebanyak 4,000 liter, distorkan di dalam premis," katanya.

Palanivel berkata bekalan air dijangka pulih dalam tempoh tujuh hari secara berperingkat. Insiden itu menjejaskan kira-kira satu juta penduduk di sekitar Lembah Klang.

Di SHAH ALAM, Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (Cassa) menggesa kerajaan supaya menggunakan undang-undang keselamatan yang berkaitan terhadap kilang yang bertanggungjawab dalam kes tumpahan minyak diesel di Sungai Gong.

Presidennya, Datuk Dr Jacob George berkata undang-undang alam sekitar sedia ada tidak cukup tegas untuk menyelesaikan masalah itu dan menambah hanya undang-undang keselamatan dapat menghalang pemilik kilang daripada melakukan kesalahan itu.

"Saya anggapkan masalah ini sebagai serangan yang dirancang terlebih dahulu terhadap ketenteraman awam kerana menyebabkan bekalan air kepada lebih satu juta pengguna di Lembah Klang menjadi kelam-kabut selain kepada syarikat yang terpaksa menanggung kerugian teruk.

"Oleh itu, menggunakan undang-undang keselamatan adalah perlu dalam isu ini kerana membabitkan hak dan kepentingan pengguna," katanya kepada Bernama.

Jacob turut mendakwa Cassa menerima laporan berhubung banyak pemilik kilang tidak bertanggungjawab yang membuang bahan berbahaya ke dalam sungai dan beliau meminta agensi berkaitan supaya menyiasat perkara itu.

Artikel Sebelum

Artikel Lain