suria

Parti Politik Perlu Sokong Persempadanan Semula Kawasan Pilihan Raya

KUALA LUMPUR: Persempadanan semula kawasan pilihan raya perlu disokong semua parti politik demi memenuhi kepentingan rakyat, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim.

Beliau berkata persempadanan semula yang termaktub dalam Perlembagaan itu merupakan hak rakyat bagi menambah wakil mereka di Parlimen.

"Kita kena ingat, persempadanan semula bukan hanya diperlukan oleh kerajaan tetapi oleh rakyat yang mula pertikai berkenaan jumlah pengundi di satu-satu kawasan.

"Jadi, keadaan tidak seimbang itu memerlukan kepada persempadanan semula, dan kerajaan sedia melakukannya kerana tidak mahu menjadi zalim kepada hak rakyat," katanya pada majlis sambutan Hari Raya beliau di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra, Sabtu.

Beliau diminta mengulas laporan portal berita yang memetik Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berikrar tidak akan menyokong persempadanan semula selagi pimpinan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak ditukar.

Shahidan berkata pakatan pembangkang ada hak untuk berbuat demikian tetapi ia tidak perlu dikaitkan dengan kepimpinan SPR.

Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar baru-baru ini dilaporkan berkata kajian persempadanan kawasan pilihan raya akan bermula hujung tahun ini selepas tertangguh pada 2011, dan proses secara berperingkat itu dijangka siap dalam tempoh dua tahun.

Persempadanan kawasan pilihan raya adalah perkara yang termaktub dalam Perlembagaan, dan untuk mengubah sesesuatu perkara dalam Perlembagaan memerlukan sokongan dua pertiga anggota Dewan Rakyat.

Sementara itu, Shahidan berkata tuduhan pembangkang terhadap SPR sehingga kini belum dapat dibuktikan termasuk isu dakwat kekal dan berkomplot membawa masuk 40,000 pengundi hantu dari Bangladesh untuk mengundi Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum lepas.

Menurutnya isu membawa masuk 40,000 pengundi hantu dari Bangladesh telah dibawa ke Kabinet dan beliau sedang berbincang dengan pihak berkenaan berhubung tindakan undang-undang.

"Ia hanya tuduhan palsu, dan penghinaan ini tidak boleh dibiarkan...perkara ini telah dirujuk kepada Kabinet dan saya akan kumpul bukti apakah kita boleh ambil tindakan terhadap mereka yang berkaitan," katanya.

Ditanya mengenai Anwar mahu mengajak kerajaan berdialog untuk membincangkan isu kebangsaan yang perlu ditangani bersama pembangkang atas semangat merdeka, Shahidan berkata perkara itu boleh berlaku jika Anggota Parlimen Permatang Pauh itu membawanya ke Parlimen. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain