suria

Tiada 'Isu Kebangsaan' Perlu Dibincang Dengan Anwar - Ku Nan

PUTRAJAYA: Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata tiada sebarang 'isu-isu kebangsaan' yang perlu dibincangkan antara Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan.

"Segala-galanya semata-mata tentang politik dan jika beliau (Anwar) mahu berbincang, beliau perlu membawa perkara ini ke Parlimen.

"Pada beliau, segala-galanya hanyalah tentang politik. Mengapa sekarang, setelah mereka mempertikaikan keputusan (pilihan raya) malah Suruhanjaya Pilihan Raya?" katanya kepada pemberita selepas melancarkan sambutan 10 tahun Cruise Tasik Putrajaya di sini, Sabtu.

Sambil mempertikaikan cadangan Anwar itu, Tengku Adnan yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata pembangkang tidak pernah ikhlas dalam setiap perbuatan dan perkataan mereka.

Anwar, yang juga Penasihat PKR seperti dilaporkan sebuah portal berita, mencadangkan supaya dialog terbuka dengan kerajaan diadakan bagi membincangkan 'isu-isu kebangsaan' yang perlu ditangani atas semangat merdeka.

Di MELAKA, Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata Barisan Nasional (BN) tidak perlu melayan hasrat Anwar untuk bertemu bagi membincangkan beberapa perkara membabitkan kepentingan rakyat dan negara.

Bekas Ketua Menteri Melaka itu berkata rakyat telah memilih BN sebagai kerajaan melalui Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) untuk berkhidmat kepada mereka.

"Saya lihat Anwar sebagai ketua pembangkang nampak dah terdesak bila beliau cadangkan perbincangan dengan BN. Pada saya tidak perlu kerana rakyat telah memilih kerajaaan dan kita (BN) telah menang dengan majoriti yang baik," katanya kepada pemberita selepas menghadiri perarakan sambutan Hari Kemerdekaan ke-56 peringkat negeri Melaka.

Katanya pembangkang sebaliknya boleh menyuarakan sebarang isu membabitkan kepentingan rakyat dan negara di Parlimen untuk dibahas dan diputuskan oleh Anggota Parlimen.

Mengulas lanjut Mohd Ali berkata usaha ketua pembangkang itu dilihat bertujuan mengalihkan perhatian rakyat terhadap pembohongan parti tersebut pada PRU-13 lepas.

"Saya harap Anwar minta maaf kepada rakyat kerana telah membohongi rakyat jelata bahawa ada 40,000 pengundi hantu dari Bangladesh akan datang dengan berpuluh-puluh kapal terbang dan akhirnya tidak ada satu pun petisyen pilihan raya daripada pakatan pembangkang mengatakan ada pengundi hantu dari sana," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain