suria

Kereta Dengan Beberapa Kesan Tembakan Ditemui Di Bayan Baru

GEORGE TOWN: Sebuah kereta jenis Proton Persona dengan sekurang-kurangnya empat kesan tembakan ditemui di Lebuh Mahsuri Bayan Baru, di sini Sabtu.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Supt Mohd Hatta Mohd Zain berkata polis menerima aduan daripada orang awam pada pukul 8.40 pagi Sabtu memaklumkan kereta berkenaan mengganggu lalu lintas dan berada dalam keadaan mencurigakan.

"Hasil pemeriksaan forensik mendapati ada tiga kesan tembakan di belakang kereta dan satu lagi tembakan mengenai bahagian hadapan cermin kereta, bagaimanapun tiada kesan darah ditemui di dalam kenderaan itu," katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata keadaan kereta itu agak terjejas di bahagian bumper dengan tayar belakang pancit, fender pengadang lumpur bahagian depan pecah selain terdapat beberapa kesan calar pada badan kenderaan itu.

Katanya polis percaya kereta itu dikejar kenderaan penyerangnya di satu lokasi lain sebelum ditinggalkan di situ.

Beliau berkata polis turut menemui dua bungkusan dadah jenis heroin di bawah tempat duduk pemandu dan siasatan lanjut mendapati kereta itu dimiliki seorang lelaki yang beralamat di Jalan Van Praagh, di sini.

Mohd Hatta berkata pemilik kereta yang tidak memiliki rekod jenayah lampau itu dipercayai telah menghilangkan diri kerana tidak dapat dikesan di rumahnya.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian menghubungi balai polis berdekatan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain