suria

Tanda Putera: DAP Tunjuk Watak Sebenar - Dr Chua

KUALA LUMPUR: Bantahan DAP terhadap penayangan filem 'Tanda Putera' menunjukkan watak sebenar parti itu, kata Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Loi Sek.

"Meskipun DAP mendakwa mereka memperjuang kebebasan bersuara, mereka memaksa panggung wayang tidak menayangkan filem yang dikeluarkan baru-baru itu.

"DAP mengamalkan pendakwaan selektif dan dwistandard dalam menangani isu ini. Saya yakin Lim Guan Eng (Ketua Menteri Pulau Pinang) belum menonton filem namun mulut beliau sudah mengeluarkan pelbagai perkataan tidak masuk akal dan fitnah," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Lim dilapor sebagai berkata kerajaan negeri pimpinan DAP menasihati pengusaha panggung wayang di Pulau Pinang agar tidak menayangkan filem berkenaan yang didakwa mengandungi isu sensitif dan fitnah.

Chua berkata Lim tidak sepatutnya menafikan hak rakyat Pulau Pinang untuk menonton filem itu dan membuat rumusan sendiri sama ada Tanda Putera menggambarkan insiden sebenar 13 Mei atau sebaliknya.

"Rakyat cukup matang untuk merasional dan membezakan mana yang buruk serta baik kepada mereka. Inilah demokrasi yang sering mereka perkatakan namun nampaknya mereka cakap tak serupa bikin," katanya.

Di BUKIT MERTAJAM, sebuah badan bukan kerajaan (NGO) iaitu Kumpulan Anak Merdeka Permatang Pauh menyelar tindakan Lim yang menasihatkan panggung wayang di negeri itu agar tidak menayangkan Tanda Putera.

Wakil kumpulan berkenaan Mohd Azlan Mohd Azmin berkata tindakan kerajaan negeri Pulau Pinang itu membelakangi dasar yang mereka buat iaitu telus dan sentiasa mengamalkan sikap keterbukaan.

"Ketua Menteri kata mereka amalkan sikap keterbukaan dalam semua aspek tetapi belum lagi menonton filem itu, sudah membuat keputusan yang menampakkan beliau berfikiran sempit dan tertekan dengan filem berkenaan.

"Beri peluang orang menonton dan biar mereka menilai sendiri apa sebenarnya dalam filem itu. Saya percaya masyarakat sudah cukup matang untuk membuat penilaian berdasarkan fakta dan sejarah dalam filem itu," katanya kepada pemberita selepas bertemu pihak pengurusan pawagan Golden Screen Cinema (GSC) di Sunway Carnival pada Jumaat.

Pada pertemuan itu, hampir 50 anggota Kumpulan Anak Merdeka Permatang Pauh hadir dan membawa 100 keping tiket yang dibeli dua hari lepas namun mereka gagal menonton filem Tanda Putera hari ini berikutan pihak pawagam tidak menayangkannya.

"Tetapi selepas pertemuan tadi, pihak pengurusan pawagan memaklumkan mereka akan mula menayangkan filem Tanda Putera mulai 9.45 malam ini dan memberi jaminan tiket kami boleh digunakan untuk tayangan esok," katanya.

Sementara itu, Pengurus GSC berkenaan, Eric Ong, ketika ditemui enggan mengulas lanjut dan memaklumkan pihaknya akan menayangkan Tanda Putera malam ini.

"Maaf, saya tidak boleh mengeluarkan sebarang kenyataan hanya ibu pejabat boleh berbuat demikian," katanya.

Filem arahan Datuk Shuhaimi Baba itu, yang diterajui dua bintang utama iaitu Rusdi Ramli sebagai Tun Abdul Razak Hussein dan Zizan Nin sebagai Tun Dr Ismail Abdul Rahman, ditayang serentak di 60 pawagam seluruh negara mulai semalam. -BERNAMA

Artikel Lain