suria

Penganggur Didakwa Bunuh Pengusaha Pusat Kecantikan

JOHOR BAHARU: Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini Jumaat atas pertuduhan membunuh seorang pengusaha pusat kecantikan, dua minggu lepas.

Toh Kian Peng, 37, didakwa membunuh Liew Oi Mei, 39, menggunakan sebilah pisau di Cinderella Beauty Centre di Jalan Indah 1/1, Taman Bukit Indah pada kira-kira 11.30 pagi, 17 Ogos lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan. Tiada pengakuan dicatat.

Majistret Mohd Azlan Shah Mohd Allias kemudian mengarahkan Toh dirujuk ke hospital bagi pemeriksaan psikiatri dan menetapkan 30 September depan bagi sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Afif Ali manakala Toh diwakili peguam Muhammad Ashraff Mohd Diah. -BERNAMA

Artikel Lain