suria

Lelaki Dipercayai Serah Jual Pelajar Wanita, Ditahan Polis

MELAKA: Polis Melaka menahan seorang lelaki dikenali sebagai 'gemuk' bagi membantu siasatan kes seorang pelajar perempuan yang dirogol tiga lelaki di sebuah chalet di Pengkalan Balak Alor Gajah di sini pada 3 Ogos lepas.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Operasi dan Risikan) Melaka Supt P.R. Gunarajan berkata lelaki berusia 23 tahun itu ditahan di hadapan sebuah rumah di Taman Pengkalan Balak di sini dalam Ops Cantas yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah kira-kira 10.30 malam Khamis.

"Suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini dan penahanannya dipercayai membantu menyelesaikan kes rogol itu," katanya dalam kenyataan di sini, Jumaat.

Beliau berkata dalam kejadian itu, mangsa berusia 14 tahun dipercayai dibawa suspek menaiki kenderaan ke sebuah chalet di Pengkalan Balak pada 3 pagi sebelum diserahkan kepada tiga lelaki dan dirogol.

Katanya suspek dipercayai turut terlibat dengan kes curi motosikal dan samun di sekitar negeri ini.

Gunarajan berkata dua lelaki berusia 15 dan 23 tahun ditahan selepas pelajar terbabit membuat laporan polis pada Ahad lepas dan pihaknya sedang mengesan seorang lagi lelaki berusia 20-an berhubung kes itu. -BERNAMA

Artikel Lain