suria

Keputusan Petisyen Pilihan Raya Kota Marudu 7 November

KOTA KINABALU: Mahkamah Pilihan Raya akan memutuskan petisyen calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Maijol Mahap untuk membatalkan keputusan pilihan raya umum ke-13 bagi kerusi Parlimen Kota Marudu, pada 7 November.

Hakim Datuk Yew Jen Kee menetapkan tarikh itu selepas selesai mendengar keterangan semua saksi pada pendengaran petisyen berkenaan di sini, Jumaat.

"Kedua-dua pihak, iaitu peguambela bagi pempetisyen dan Peguam Kanan Persekutuan bagi responden, juga akan mengemukakan hujahan mereka sebelum keputusan dibuat," katanya.

Terdahulu, Pegawai Pengurus Pilihan Raya (RO) Kota Marudu Luvita Koisun memberitahu mahkamah beliau tidak memberi arahan kepada Ketua Tempat Mengundi (KTM) untuk tidak menyerahkan Borang 14 kepada ejen mengira undi bagi calon PKR.

Luvita, 55, berkata beliau tidak menerima apa-apa bantahan daripada ejen mengira undi bagi pihak pempetisyen berkaitan pengiraan dan penjumlahan undi.

Beliau berkata 50 pusat mengundi di Parlimen Kota Marudu, termasuk 20 di Matunggong dan 20 di Tandek, menerima semua Borang 14 yang dihantar KTM yang bertugas di SEMUA pusat terbabit.

Luvita berkata mengikut Peraturan Pilihan Raya, KTM akan memberi Borang 14 yang telah disahkan kepada setiap ejen mengira undi selepas pengiraan undi selesai.

Bagaimanapun, beliau bersetuju bahawa KTM perlu menyerahkan Borang 14 kepada ejen sama ada mereka meminta atau tidak.

Petisyen Mahap menamakan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Dr Maximus Ongkili sebagai responden pertama, Luvita responden kedua dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) responden ketiga.

Bagaimanapun, pada 13 Ogos lepas, Yew memutuskan dakwaan amalan rasuah terhadap Ongkili digugurkan daripada petisyen itu, namun menteri berkenaan kekal sebagai responden kerana beliau merupakan pemenang kerusi berkenaan.

Petisyen itu, antara lain, mendakwa Borang 14, yang merekodkan jumlah undi yang diperoleh setiap calon serta bilangan undi rosak, tidak diberi kepada ejen pilihan raya PKR.

Ongkili, yang mewakili Barisan Nasional, memenangi kerusi itu dengan majoriti 842 undi selepas memperoleh 15,168 undi dalam pertandingan empat penjuru manakala Mahap meraih 14,326 undi, calon Star Majamis Timbong (2,228 undi) dan Yuntau alias Kuntau Kolod (SAPP) hanya mendapat 444 undi manakala sebanyak 911 undi ditolak.

Sepanjang prosiding itu, Luvita dan SPR diwakili Peguam Kanan Persekutuan Mahiran Mohd Isa dan Zawawi Ghazali serta Peguam Persekutuan iaitu Nurhasmanita Abd Manap dan Intan Ilani Mohd Azani manakala Maijol oleh Fulton Mark Sitiwin. -BERNAMA

Artikel Lain