suria

Kementerian Pendidikan Perjelas Laporan Murid Tukar Sekolah

KUALA LUMPUR: Hanya seorang murid memohon untuk ditukarkan dari Sekolah Kebangsaan Seri Pristana di Sungai Buloh, kerana dakwaan diganggu, menurut Kementerian Pendidikan.

Dalam kenyataan pada Jumaat, ia menyebut laporan media yang menyatakan bahawa tiga pelajar sekolah berkenaan telah bertukar kerana dinganggu, adalah tidak benar. "Daripada siasatan, hanya seorang murid memohon untuk bertukar dari sekolah itu yang dibuat waris pelajar berkenaan," menurut kenyataan itu.

Kementerian turut menjelaksan bahawa urusan berkaitan pertukaran murid dari sesebuah sekolah, merupakan pilihan ibu bapa pelajar.

Namun, kementerian memberi jaminan akan terus menyiasat dan mengambil tindakan jika terdapat dakwaan ada guru atau pihak pentadbiran sekolah cuba mewujudkan keadaan tidak tenteram atau membuat gangguan terhadap murid dalam kalangan murid pelbagai kaum.

Semalam, sebuah akhbar berbahasa Inggeris melaporkan tiga orang waris pelajar telah menukarkan anak mereka dari sekolah itu kerana bimbang akan diganggu, jika kekal bersekolah di situ.

Mengenai aduan pentadbiran sekolah membenarkan polis membuat siasatan ke atas murid di sekolah, kementerian katanya, hanya memberi kerjasama apabila diminta.

"Adalah menjadi hak pihak polis membuat siasatan dalam perkara yang dilaporkan kepada mereka dan pihak sekolah perlu memberi kerjasama kepada pihak berkenaan sekiranya diminta," menurut kenyataan itu. -BERNAMA

Artikel Lain