suria

JKM Cari Waris Kanak-Kanak Lelaki Yang Ditinggalkan

Wajah adik Saiful yang dirakamkan oleh pegawai di pejabat JKM Daerah Kinta.
Wajah adik Saiful yang dirakamkan oleh pegawai di pejabat JKM Daerah Kinta.
Wajah adik Saiful yang dirakamkan oleh pegawai di pejabat JKM Daerah Kinta.

IPOH: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sedang mencari waris seorang kanak-kanak lelaki berumur empat tahun yang ditinggalkan di hadapan kaunter pejabat JKM Daerah Kinta di sini pagi Khamis.

Pegawai JKM Daerah Kinta Mohd Mahir Mohd Tahir berkata ketika ditemui kanak-kanak itu yang membahasakan dirinya 'Saiful' memakai baju dan seluar pendek berwarna biru.

"Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), kanak-kanak berkenaan ditinggalkan seorang lelaki dipercayai berbangsa Melayu pada pukul 9.02 pagi," katanya kepada pemberita di sini Jumaat.

Beliau berkata dalam rakaman itu, lelaki itu kelihatan meninggalkan kanak-kanak berkenaan di hadapan kaunter pejabat itu untuk menjawab panggilan telefon.

"Dalam tempoh kira-kira lima hingga sepuluh minit, pegawai di kaunter itu mengesyaki kanak-kanak itu ditinggalkan apabila lelaki itu tidak lagi kelihatan di kawasan itu," katanya.

Mohd Mahir berkata laporan polis dibuat pada pukul 10.50 pagi Khamis apabila lelaki berkenaan gagal ditemui.

Katanya kanak-kanak itu kemudiannya dibawa ke Mahkamah Majistret Ipoh untuk mendapatkan perintah penjagaan sementara mengikut Akta Kanak-Kanak 2001.

Beliau berkata kanak-kanak itu kini ditempatkan di sebuah institusi perlindungan kanak-kanak di Kuala Kangsar untuk perlindungan sementara.

"Kita ingin memastikan dia dapat dikembalikan kepada keluarganya kerana kita tak tau apa sebenarnya yang berlaku.

"Malah saya tak berani nak cakap sama ada lelaki itu ayahnya tetapi ketika kita tunjukkan CCTV, kanak-kanak itu kata lelaki itu ayahnya," kata beliau.

Beliau berkata waris atau individu yang mengenali kanak-kanak itu diminta menghubungi pejabat JKM Daerah Kinta di talian 05-2418860 atau berhubung terus dengannya di talian 019-3291176. - BERNAMA

Artikel Lain