suria

Jangan Politikkan Sambutan Hari Merdeka - Kamaruddin Siaraf

KUALA LUMPUR: Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Kamaruddin Siaraf meminta masyarakat tidak mempolitikkan sambutan hari kemerdekaan kerana ia antara langkah memupuk semangat cintakan negara.

Beliau berkata penganjuran sambutan itu, yang diadakan setiap tahun, tiada kaitan langsung dengan fahaman politik mana-mana pihak sebaliknya sebagai menghargai jasa dan pengorbanan anggota keselamatan yang berjuang memerdekakan negara.

"Usaha untuk mempertahan kedaulatan negara adalah di luar batasan politik dan kita sebagai rakyat seharusnya ambil iktibar daripada perjuangan itu untuk sentiasa bersatu padu menjaga keamanan yang dikecapi selama 56 tahun ini. "Dengan sambutan seperti ini, rakyat diharap dapat menghayati dan memahami bagaimana perasaan jika ada anak kehilangan ayah serta isteri kehilangan suami kerana semata-mata pergi berjuang demi memberikan nikmat kebebasan kepada kita selama ini," katanya ketika menjadi tetamu rancangan bual bicara Helo Malaysia terbitan BernamaTV di saluran 502 Astro, malam Jumaat. Mengulas lanjut, Kamaruddin berkata nikmat kemerdekaan sebenarnya adalah pasport untuk mana-mana pihak mentadbir sesebuah negara malah hanya keamanan yang dapat menjadikan sesuatu negara itu terus maju, dan rakyat seharusnya sedar akan keperluan untuk bersepakat menjaga kedaulatan berkenaan.

Selain itu, beliau mengalakkan semua rakyat, khususnya golongan muda, melahirkan semangat cinta akan negara menerusi Facebook dan Twitter dengan berkongsi cerita serta berbicara tentang erti kemerdekaan bersama-sama 'masyarakat' dalam laman sosial berkenaan.

"Saya harap lebih kurang 12 juta pengguna laman sosial di negara ini dapat menukarkan status cintakan negara malam ini, dan mereka juga disaran menggunakan segala pengetahuan yang ada untuk menaikkan semangat patriotik sempena sambutan kemerdekaan esok," katanya.

Kamaruddin berkata perbezaan sambutan kali ini berbanding tahun sebelumnya ialah perbarisan akan mempamer maksud kedaulatan itu sendiri dan cara rakyat mempertahankannya sejajar dengan tema 'Malaysiaku Berdaulat: Tanah Tumpahnya Darahku'.

Beliau berkata pengunjung Dataran Merdeka esok akan disaji dengan perbarisan daripada pelbagai agensi dan anggota keselamatan, termasuk mempamer peralatan ketenteraan yang digunakan bagi mempertahankan negara. "Kita hendak tunjukkan kepada dunia bahawa acara kita sebenarnya menunjukkan kesediaan rakyat untuk mempertahankan negara sehingga ke titisan darah yang terakhir," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain