suria

Jangan Biarkan Pemilihan Umno Jejaskan Kesatuan Dalaman Parti

Hishammuddin Tun Hussein
Hishammuddin Tun Hussein
Hishammuddin Tun Hussein

KUALA LUMPUR: Pemilihan Umno pada Oktober ini tidak seharusnya menjejaskan kesatuan dalaman parti sehingga hilang rasa hormat daripada parti komponen Barisan Nasional (BN), kata Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata calon yang bertanding harus bertanggungjawab dan memastikan diri mereka tidak terlalu ghairah untuk merebut jawatan sehingga mencetuskan perpecahan di kalangan anggota parti.

Sebaliknya beliau menegaskan calon pemimpin harus mengekalkan kesatuan kerana Umno harus menjadi parti contoh kepada parti komponen BN setelah Umno mempunyai lebih banyak kerusi selepas Pilihan Raya Umum ke-13.

"Jika Umno tidak bersatu macam mana parti komponen lain akan hormat kita dan dengar cakap kita," katanya kepada pemberita ketika menghadiri majlis rumah terbuka Universiti Pertahanan Nasional Malaysia di sini,Jumaat.

Beliau berkata demikian apabila ditanya mengenai keputusan Ketua Umno Bahagian Telok Kemang, Tan Sri Isa Abdul Samad yang bertegas untuk bertanding jawatan Naib Presiden Umno pada pemilihan parti Oktober ini.

PRU-13 menyaksikan Umno kekal tonggak BN apabila menjadi penyumbang terbesar kerusi Parlimen kepada parti gabungan itu dengan memperoleh 109 daripada 133 kerusi yang dimenangi BN. Umno bertanding 120 kerusi.

Angka 109 kerusi itu menunjukkan peningkatan pencapaian sebanyak 23 peratus berbanding PRU 2008 apabila Umno memenangi 79 kerusi Parlimen daripada 117 kerusi yang dimenangi BN. -BERNAMA

Artikel Lain