suria

Hukuman Penjara Enam Tahun Ahli Perniagaan Kekal

KUALA LUMPUR: Seorang ahli perniagaan gagal mengetepikan hukuman penjara enam tahun yang dijatuhi Mahkamah Sesyen ke atasnya bagi kesalahan terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram membabitkan jumlah lebih RM2.5 juta.

Hakim Mahkamah Tinggi Kamardin Hashim menolak rayuan Wong Pei Hur terhadap sabitan dan hukuman.

Bagaimanapun, beliau membenarkan permohonan Wong untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan dan mengekalkan jumlah jaminan sebanyak RM1.5 juta dengan dua penjamin.

Kamardin berkata selepas meneliti hujah pendakwaan pembelaan, mahkamah mendapati tiada merit untuk mengganggu keputusan Mahkamah Sesyen.

Wong, 40, dihukum penjara antara tiga bulan dan dua tahun bagi setiap kesalahan pengubahan wang haram (20 pertuduhan) serta penjara empat tahun bagi setiap kesalahan mengambil deposit secara haram (dua pertuduhan).

Mahkamah Sesyen memerintahkan Wong menjalani kesemua hukuman secara serentak. Dia didakwa melakukan kesalahan itu di beberapa bank termasuk Malayan Banking Berhad serta UOB Bank Berhad di sini antara tahun 2007 dan 2008.

Pada prosiding perbicaraan di Mahkamah Sesyen, pendakwaan memaklumkan bahawa aset yang didakwa diperoleh tertuduh daripada aktiviti haram itu, yang berjumlah RM2 juta, disita Bank Negara.

Wong diwakili peguam Datuk Harpal Singh Grewal manakala pendakwaan oleh Timbalan Pendakwa Raya Asmah Musa dan Nurshuhaida Zainal Azahar. -BERNAMA

Artikel Lain