suria

Bersama Pertahan Kedaulatan Negara Daripada Ancaman - Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata setiap anggota masyarakat bertanggungjawab mempertahankan kedaulatan negara daripada sebarang bentuk ancaman keselamatan, politik dan ekonomi. Timbalan Perdana Menteri berkata komitmen, kesungguhan dan kerja keras semua pihak telah meletakkan Malaysia gah di mata dunia, terutamanya dari segi mengekalkan keamanan dan keharmonian masyarakat majmuk yang diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa.

Beliau berkata erti sebenar kedaulatan adalah apabila rakyat sesebuah negara yang merdeka mampu menentukan sendiri nasib masa depan dan negara tanpa perlu tunduk kepada tekanan mana-mana pihak.

"Marilah kita sama-sama mengorak langkah mempertahankan kemerdekaan tanah air kita supaya kedaulatan Malaysia sentiasa dihormati dan negara kita dipandang tinggi di mata dunia. "Saya yakin Malaysia yang merdeka kini berada di landasan yang betul hasil kerjasama dan toleransi antara rakyat pelbagai kaum dan agama di negara ini," katanya dalam perutusan sempena Hari Kebangsaan yang ke-56, yang akan disambut esok.

Sambutan Hari Kemerdekaan tahun ini yang bertema 'Malaysiaku Berdaulat: Tanah Tumpahnya Darahku" bermula dengan acara Ambang Merdeka 2013 menunggu detik 12 malam tanda tibanya 31 Ogos di Pusat Maritim, Putrajaya malam ini, diikuti perbarisan yang akan berlangsung di Dataran Merdeka di sini, pagi esok.

Muhyiddin turut mengajak rakyat untuk sama-sama menghayati maksud kemerdekaan yang sebenar dan menerapkan semangat kemerdekaan di jiwa masing-masing.

Timbalan Perdana Menteri berkata perkara penting yang perlu sentiasa diingati adalah bukan mudah bagi mereka yang terdahulu memperjuangkan kemerdekaan negara. "Saya mengucapkan selamat menyambut ulang tahun kemerdekaan tanah air yang ke-56 dan berdoa agar negara kita dan rakyat keseluruhannya akan dapat terus hidup dalam suasana aman harmoni dan terus maju jaya," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain