suria

Tiga Pemuda Ditahan Polis Didakwa Belasah Penuntut Universiti

BESUT: Tiga pemuda ditahan polis kerana didakwa membelasah seorang penuntut universiti secara berkumpulan dalam kejadian di Kampung Batu Tumbuh dekat sini, Rabu.

Kejadian pukul 4 pagi itu menyebabkan mangsa yang berumur 21 tahun, pelajar Universiti Shibaura di Tokyo, Jepun yang pulang ke tanah air sempena cuti semester mengalami lebam dan luka di bahagian kepala dan hampir keseluruhan badan.

Ketua Polis Daerah Besut, Supt Kamaruddin Mohd Zakaria ketika mengesahkan perkara itu berkata sebelum kejadian, mangsa yang tinggal di Kampung Nail, Kuala Besut telah memandu kereta berseorangan pergi bermain futsal dengan rakannya.

Katanya penuntut itu kemudiannya pergi ke rumah teman wanitanya yang dikenali sebagai Humaira, seorang pelajar yang baru balik dari Mesir untuk menghantar pengecaj komputer riba di Kampung Batu Tumbuh.

"Sebaik sahaja mangsa memasuki keretanya untuk pulang, beliau didatangi tiga suspek berkenaan yang menahannya sambil menuduh beliau telah mencuri," katanya.

Sebelum sempat menjawab, ketiga-tiga suspek telah membelasah mangsa dengan menumbuk, menendang dan memijak mangsa hingga mengalami cedera sebelum dileraikan orang kampung yang menyedari kejadian itu.

Mangsa dihantar ke Hospital Daerah Besut oleh bapanya selepas dimaklumkan kejadian itu oleh bapa gadis berkenaan yang kemudian membuat laporan polis.

Kamaruddin berkata ekoran kejadian itu, ketiga-tiga suspek yang merupakan peniaga ditahan untuk disoal siasat. - BERNAMA

Artikel Lain