suria

Tabung Haji Beri Vaksin Percuma Kepada Jemaah Haji

PETALING JAYA: Lembaga Urusan Tabung Haji sedang berbincang dengan Kementerian Kesihatan untuk memberi suntikan vaksin percuma kepada jemaah haji Malaysia yang dijadual berlepas ke Tanah Suci pada 7 September ini.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahya berkata ini berikutan penularan virus 'Middle East Respiratory Syndrome Corona Virus' (MERS-CoV) yang dahulunya dikenali sebagai 'Novel Coronavirus' telah dikesan dari negara-negara seperti Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu, Jordan, Qatar dan Tunisia.

"Tabung Haji memang sedang berbincang dengan pihak kementerian yang mana mereka akan memberi vaksin percuma ini kepada jemaah haji yang akan pulang ke Malaysia. "Bagaimanapun, kita belum ada lagi keputusan tentang pelaksanaan vaksin tersebut kepada jemaah haji," katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran MyKifayah Perkhidmatan Pengurusan Jenazah Bersepadu Tanpa Tunai, di sini, Rabu.

Sehingga 9 Julai 2013, Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) telah melaporkan sebanyak 82 kes disahkan mengidap MERS-CoV dengan 45 kematian seluruh dunia.

Ini menjadikan jangkitan virus ini amat berbahaya dengan kadar kematian yang tinggi, melebihi 50 peratus. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain