suria

Surau Kontroversi Di Sedili Besar Dirobohkan Pemilik

KOTA TINGGI: Surau di sebuah resort di Sedili Besar yang digunakan sekumpulan penganut agama Buddha untuk ritual pada 10 Ogos lalu hingga mencetuskan kemarahan umat Islam, akhirnya dirobohkan oleh pengurusan resort berkenaan pada Rabu.

Menurut salah seorang pekerja resort berkenaan, Mohd Kanang Abdullah, 29, dia diarahkan oleh pemilik resort tersebut supaya melakukan kerja-kerja meroboh surau berkenaan.

"Kerja-kerja meroboh dimulakan pada pukul 9 pagi tadi dengan menggunakan sebuah jentolak. Kerja ini kita akan sambung esok," katanya kepada Bernama ketika ditemui di sini.

Sementara itu, tinjauan mendapati hanya tinggal 20 peratus struktur binaan itu iaitu bahagian hadapannya yang belum dirobohkan.

Sebelum ini Majlis Daerah Kota Tinggi (MDKT) mengarahkan pihak pengurusan resort berkenaan supaya merobohkan surau tersebut.

Arahan pada 20 Ogos dikeluarkan melalui notis itu memberikan tempoh 21 hari kepada pemilik resort untuk meroboh premis berkenaan.

Jika gagal pemiliknya boleh dihadapkan ke mahkamah atau menanggung kos merobohkannya jika ia dilakukan oleh MDKT. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain